DOMPOK. FOTO Arkib NSTP
DOMPOK. FOTO Arkib NSTP
Kristy Inus


DUTA Malaysia ke Vatican City, Tan Sri Bernard Dompok dilaporkan sudah kembali ke Sabah hujung minggu lalu, susulan arahan Wisma Putra yang memanggil pulang beberapa duta di luar negara.

Pembantu peribadi Dompok ketika dihubungi NSTP hari ini, mengesahkan mengenai perkara itu.

“Ya, beliau kembali (ke Sabah) pada Sabtu lalu tetapi masih berehat (di rumahnya di Penampang). Kami akan beritahu apabila beliau bersedia (untuk bercakap),” katanya.

Dompok dilantik sebagai Duta Malaysia pertama ke Vatican City, pada awal 2016.

Sebelum dilantik sebagai duta, Dompok adalah ahli politik dan berkhidmat di beberapa portfolio kementerian penting di peringkat negeri dan Persekutuan.

Dompok juga bekas Ketua Menteri Sabah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga adalah bekas Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO), namun meletakkan jawatan selepas tewas di kerusi Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Semalam, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, dilaporkan berkata, isu membabitkan dua duta yang dikatakan enggan melepaskan jawatan sudah selesai.

Media sebelum ini melaporkan terdapat dua daripada enam duta Malaysia yang juga lantikan politik diarahkan pulang, tetapi enggan berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 6:51 PM