MUHAMMAD Shafee. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Shafee. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


KEMENTERIAN Luar mengesahkan sudah membatalkan pasport diplomatik diberi kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pasport diplomatik peguam kepada bekas Perdana Menteri itu dibatalkan pada 19 September lalu.

“Kementerian Luar sudah menarik kembali serta membatalkan pasport diplomatik Muhammad Shafee,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Pang Hok Liong (PH-DAP Labis) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hok Liong ingin tahu sama ada kerajaan akan menarik kembali atau membatalkan pasport Muhammad Shafee memandangkan peguam itu tidak dilantik sebagai diplomat.

Saifuddin berkata, pasport terbabit dikeluarkan atas kapasiti Muhammad Shafee sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan untuk tempoh 2009 hingga 2015.

Katanya, Muhammad Shafee turut dilantik sebagai Duta Besar Tugas-tugas Khas mengenai Hak Asasi Manusia antara 2016 dan 2018.

“Pemberian pasport diplomatik itu bertujuan memudahkan beliau dalam melaksanakan tugas rasminya sebagai wakil negara,” katanya.

Muhammad Shafee sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam itu juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan lain iaitu membuat penyata tidak betul dengan tidak memaklumkan RM9.5 juta jumlah pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 4:50 PM