Zulhasnan (tengah) bersalam dengan Ubaid sambil diperhatikan oleh Nik Nazmi semasa proses penamaan calon pagi tadi. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Zulhasnan (tengah) bersalam dengan Ubaid sambil diperhatikan oleh Nik Nazmi semasa proses penamaan calon pagi tadi. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ahmad Suhael Adnan

SEBAIK sahaja selesai penamaan calon kerusi Parlimen Setiawangsa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad terus membidik muncung senjatanya ke arah PAS.

Nik Nazmi yang juga calon PKR bagi Parlimen Setiawangsa, menolak kemungkinan bagi PAS untuk menang di kawasan itu walaupun kerusi berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara partinya, Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Beliau mendakwa fokus pertembungan di Setiawangsa hanya terarah pada BN dan PKR kerana rakyat mahu memberi undi kepada parti yang mampu untuk membentuk kerajaan.

"Rakyat mahu mengundi parti yang boleh membentuk kerajaan, jadi secara logiknya majoriti pengundi akan memberi fokus pada BN selaku penyandang dan Pakatan Harapan.

"Ini demokrasi, terbuka pada sesiapa nak bertanding, tetapi majoriti rakyat yang kita jumpa mendapati mereka menilai antara dua parti ini.

"BN sentiasa memiliki kelebihan di Setiawangsa, jadi umpama 'David vs Goliath', tapi David menang. saya yakin kami akan menang," katanya ketika ditemui selepas pengumuman penamaan calon Parlimen Setiawangsa PRU-14 di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai tiga calon akan bertanding bagi merebut kerusi terbabit membabitkan Nik Nazmi; bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique (BN) dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ubaid Abdul Akla.

Sementara itu, Ubaid yang ditemui berkata, PAS sudah bertanding di Parlimen Setiawangsa sejak kerusi itu mula diwujudkan pada 2004 menerusi calonnya, Abdul Rashid Hassan Basri.

"PAS bukan mahu sibuk bertanding di kawasan itu selepas tak bersama Pakatan Rakyat, ini memang kerusi kami. Kami yakin PAS ada pengundi teras di sini.

"PKR kali pertama mereka bertanding semasa PRU-13, Pak Berahim (Ibrahim Yaacob) lawan tapi kalah juga dengan beza undi 1,390. Itu pun dengan bantuan PAS," katanya.

Ditanya peluang PAS dalam pertembungan tiga penjuru itu, Ubaid mengakui mereka adalah parti 'underdog', namun yakin berpeluang mencipta kejutan.

"Umpama dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris, kami adalah pasukan bawahan yang bakal bertemu Manchester United dan Manchester City.

"Namun, peluang itu ada. Padang bola ini rata dan walaupun Manchester United itu kuat, tapi kadang kala mereka kalah juga. Begitulah keadaan di sini, walaupun secara tradisinya dimenangi BN," katanya.

Zulhasnan dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi terbabit selepas pernah menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa pada 2004 dan 2008, selain Ahli Parlimen Wangsa Maju pada 1999.

Nik Nazmi pula adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang dimenanginya sejak 2008, manakala Ubaid adalah muka baharu daripada PAS dan bertanding buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 6:13 PM