DARUS (kiri) bersama anak istimewa dari Persatuan OKU Akal Negeri Kedah yang gembira dapat makan buah-buahan dari dusun miliknya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, Jitra, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
DARUS (kiri) bersama anak istimewa dari Persatuan OKU Akal Negeri Kedah yang gembira dapat makan buah-buahan dari dusun miliknya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, Jitra, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


PEMILIK dusun di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, Jitra, berkongsi rezeki tanamannya bersama 20 orang kurang upaya (OKU) yang dihidang pelbagai jenis buah-buahan tempatan secara percuma, semalam.

Darus Ahmad, 82, berkata niatnya mengadakan kenduri itu bagi memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan menikmati durian, langsat, manggis dan cempedak ditanam di kebunnya.

“Kebanyakan penghuni asrama Persatuan OKU Akal Kedah, Bukit Pinang, ini hanya dapat makan buah-buahan ala kadar sahaja, tetapi hari ini saya hidangkan buah-buahan istimewa kepada mereka.

“Saya seronok melihat telatah mereka menikmati buah-buahan sehingga kenyang, malah ada yang minta hendak bawa pulang ke asrama,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Semua penghuni asrama persatuan itu dibawa menaiki van bersama enam sukarelawan yang bertugas melayani kumpulan OKU berusia antara 20 hingga 30 tahun terdiri daripada 15 perempuan dan lima lelaki.

Darus berkata, hasil tanamannya tahun lalu kurang menjadi, namun pada tahun ini, buah-buahan mengeluarkan hasil luar biasa menyebabkan dia berkongsi rezeki itu bersama mereka yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Kanser Kedah, Zuraini Kamal berkata, mereka mengambil keputusan menjemput penghuni asrama Persatuan OKU Akal Kedah bagi membawa keseronokan kepada mereka.

“Kebiasaannya kami meraikan sambutan Aidilfitri bersama mereka, namun tahun ini kami raikan penghuni OKU secara berbeza dengan membawa menikmati buah-buahan.

“Kami dapat lihat mereka sangat seronok dan ini adalah salah satu aktiviti dilakukan persatuan selain daripada menziarahi pesakit kanser dan golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 9:10 PM