PENGUNJUNG menikmati keenakan raja buah.
PENGUNJUNG menikmati keenakan raja buah.
Mohamad Hussin

Program Jom Makan Buah @Masjid Negara, Kuala Lumpur yang julung kali diadakan bukan saja memberi peluang kepada orang ramai menikmati keenakan buah-buahan tempatan, sebaliknya turut membantu usahawan mempromosikan produk mereka.

Program selama dua hari itu anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Masjid Negara dapat mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini selain pelancong asing.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata, 42 tan metrik buah-buahan untuk jualan di Program Jom Makan Buah @Masjid Negara kali ini.

Beliau berkata, antara buah-buahan yang disediakan ialah durian musang king (6 tan metrik), durian klon (12 tan metrik), durian kampung (6 tan metrik), rambutan (7 tan metrik), manggis (7 tan metrik) dan cempedak (4 tan metrik).

“Program Jom Makan Buah @Masjid Negara bertujuan meningkatkan permintaan buah-buahan tempatan dan memperluaskan pasaran terutama ketika musim buah pada Jun dan September.

“Melalui program ini, pengguna boleh membeli buah-buahan tempatan terutama yang bermusim dibawa terus dari ladang FAMA pada harga berpatutan seterusnya meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha produk berasaskan buah-buahan bermusim.

“Ia bagi mengelak lambakan pada musim besar buah-buahan tahun ini dan hasil pengeluarannya pula diagihkan dari kawasan pengeluaran kepada kawasan pengguna khususnya di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” katanya.

AHMAD (empat dari kiri) dan Ismail (empat dari kanan) melawat gerai jualan.
AHMAD (empat dari kiri) dan Ismail (empat dari kanan) melawat gerai jualan.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program itu, baru-baru ini. Turut hadir, Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Ahmad berkata, penurunan harga durian di seluruh negara ketika ini disebabkan lambakan pengeluarannya berbanding tahun lalu berikutan musim buahnya serentak membabitkan beberapa negeri.

“Pada tahun ini begitu banyak buah termasuk durian yang menjadi. Berdasarkan statistik tahun lalu jumlah pengeluaran durian hanya 60,000MT sementara tahun ini sebanyak 180,000MT.

“FAMA turut membuat jualan terus di pasar tani, gerai buah-buahan segar (GBBS), agrobazaar, jualan di jabatan dan agensi kerajaan serta kawasan strategik.

“Buah-buah bermusim juga dihantar ke pasar raya termasuk lokasi strategik di seluruh negara. FAMA kini giat menjalankan promosi di Karnival Makan Buah-buahan Tempatan seperti Program Jom Makan Buah sekolah-sekolah, MyBest Buy, MAHA, HPPNK dan masyarakat berkenaan kebaikan menikmati buah-buahan tempatan selain menganjurkan KenDurian (kenduri durian).

“Kami berharap dengan pendedahan ini mampu mempopularkan kembali buah-buahan tempatan yang kian dilupakan. Rakyat Malaysia perlu mengambil peluang menikmati buah-buahan tempatan di musim besar ini pada harga berpatutan,” katanya.

JEMAAH yang baru selesai menunaikan solat Jumaat mengambil kesempatan membeli durian sempena Program Jom Makan Buah.
JEMAAH yang baru selesai menunaikan solat Jumaat mengambil kesempatan membeli durian sempena Program Jom Makan Buah.

Menurutnya, buah-buahan tempatan memiliki banyak khasiat untuk kesihatan, namun rakyat Malaysia masih tidak menyedari kelebihan sumber berkenaan.

“Rakyat Malaysia masih kurang makan buah-buahan tempatan dengan kadar pengambilan ketika ini sekitar 63 kilogram (kg) setahun seorang.

“Kadar itu dilihat masih terlalu rendah berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 400kg setahun seorang. Perbezaan ketara itu disebabkan tahap kesedaran rakyat yang masih kurang berhubung kebaikan buah-buahan tempatan.

“Untuk meningkatkan kesedaran ini, kami giat menjalankan kempen makan lebih banyak buah-buahan tempatan yang menyasarkan peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

“Buah-buahan tempatan yang baik untuk dinikmati masyarakat ialah durian, manggis, cempedak, duku, dokong dan rambutan,” katanya.

PELANCONG China teruja menikmati durian.
PELANCONG China teruja menikmati durian.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan penganjuran program itu yang disifatkan bukan saja memberi peluang kepada orang ramai menikmati ‘raja buah’ bahkan dapat mendekatkan mereka dengan masjid.

“Alhamdulillah, program ini julung kali diadakan di Masjid Negara dengan kerjasama FAMA. Tujuannya selain melariskan jualan FAMA kerana bertumpu di satu tempat, sekali gus mendekatkan pengunjung dengan masjid.

“Program sebegini sangat baik, bukan saja musim buah tertentu dan kita mengalu-alukannya. Ia bagi memberi peluang kepada orang ramai dan pelancong asing yang datang melawat masjid ini menikmati buah-buahan tempatan,” katanya.

PENGUNJUNG turut membeli jagung.
PENGUNJUNG turut membeli jagung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 1:04 PM