ORANG ramai membeli buah-buahan.
ORANG ramai membeli buah-buahan.
ORANG ramai membeli buah-buahan.
ORANG ramai membeli buah-buahan.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Walaupun memiliki banyak khasiat untuk kesihatan, ramai rakyat Malaysia masih tidak menyedari kelebihan buah-buahan tempatan.

Berikutan itu, bagi meningkatkan kesedaran pemakanan buah-buahan tempatan dalam kalangan penduduk negara ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan Karnival MyBest Buy.

Ia diadakan berikutan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan 2016 dan Pemilihan Sajian Popular sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2016).

Karnival berkenaan dijalankan menerusi Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 10 (NBOS 10) untuk mengajak penduduk Malaysia menikmati buah-buahan tempatan kerana mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan selain harganya lebih murah dan berpatutan.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata, menerusi program itu, pihaknya menyediakan 54 tempat di seluruh negara tahun lalu dengan hasil jualan RM7 juta dan meningkat kepada 64 tempat tahun ini yang mampu menjana RM14 juta.

Katanya, peningkatan tempat jualan itu menunjukkan komitmen FAMA untuk mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap buah-buahan tempatan.

“Kami giat melakukan promosi kepada semua masyarakat terutama pelajar sekolah supaya makan buah-buahan tempatan.

“Kempen ini bagi memastikan maklumat sampai kepada masyarakat terutama generasi muda yang makin melupakan buah-buahan lama (klasik) seperti buah duku, dokong, setar dan sebagainya.

“Saya percaya, golongan muda tidak mengenali buah-buahan lama itu kerana kurang pendedahan dan hanya tahu buah yang popular,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival MyBest Buy, Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan 2016 dan Pemilihan Sajian Popular Sempena MAHA 2016 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kota Bharu, Jumaat lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan Usahawan) Ab Razak Ab Majid, Pengarah Kanan Kompleks Pemasaran Mohd Ariffin Awang dan Pengarah FAMA Kelantan Ibrahim Mahmood.

Ahmad berkata, FAMA kini giat menjalankan promosi di sekolah dan masyarakat mengenai kebaikan menikmati buah-buahan tempatan selain menganjurkan KenDurian (Kenduri Durian).

“Kita harap dengan pendedahan ini mampu mempopularkan kembali buah-buahan tempatan yang kian dilupakan.

“Kekurangan kesedaran itu memberi kesan kepada pengambilan buah-buahan tempatan apabila setiap seorang rakyat Malaysia hanya memakan 63 kilogram (kg) setahun berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 400kg,” katanya.

Katanya, masalah itu dikesan berpunca daripada masyarakat yang kurang pendedahan dengan buah-buahan tempatan.

“Selain membantu mencapai sasaran FAMA yang mahu setiap rakyat Malaysia menikmati 120kg buah-buahan tempatan setahun, kita juga mahu menyahut saranan WHO,” katanya.

Menurutnya, beberapa pendekatan dilakukan apabila buah-buahan tempatan kini dijadikan pencuci mulut seperti ‘durian crepe’, lempeng durian dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 10:54 AM