Ruwaida Md Zain


KIRA-KIRA 5,000 pengunjung Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan disajikan dengan 1,200 kilogram buah-buahan tempatan secara percuma, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, pengunjung berpeluang menikmati sembilan buah-buahan tempatan seperti rambutan Sarawak, mangga susu, jambu batu, nanas MD2, pisang, nangka dan kelapa pandan.

“Program makan buah secara percuma ini menjadi nilai tambah kepada hari tanpa kenderaan dan acara larian hari ini kerana kesedaran alam sekitar dan kesihatan tak boleh terasing.

“Kalau aktif berlari, berjoging tetapi tidak jaga pemakanan dan diabaikan, itu tidak seimbang. Sedangkan buah mengandungi vitamin dan zat galian, kena ada cara inovatif untuk menggalakkan makan buah-buahan terutama kanak-kanak.

“Jadi, kita hendak wujudkan satu suasana menggalakkan makan buah kerana banyak khasiatnya, contohnya nanas anti penuaan dan anti kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan - Orang Awam Berpeluang Menikmati Sajian Buah-Buahan Tempatan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Izham berkata, program makan buah-buahan itu sebahagian usaha mempromosikan buah-buahan tempatan, sayur-sayuran segar dan sistem pemasaran berkualiti.

Beliau berkata, buah-buahan itu dibawa terus dari ladang kepada pengunjung dengan kebanyakannya dari Selangor seperti Fruits Valley.

“Ada lebih 100 pasar di Selangor, jika ada nampak khemah Selangor Agro Market ini memang dari ladang, sudah pasti bersih, segar dan harganya bagus dalam 40 peratus diskaun. Kita galakkan beli buah di khemah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 4:59 PM
PENGUNJUNG beratur mengambil buah percuma. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
PENGUNJUNG beratur mengambil buah percuma. FOTO RUWAIDA MD ZAIN