PENDUDUK memilih bahan masakan yang diberi.
PENDUDUK memilih bahan masakan yang diberi.

KUALA LUMPUR: “Setiap hari kami akan kumpul pelbagai makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan roti sumbangan sebuah pasar raya untuk diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan di lokasi tertentu sekitar Kedah.

“Kami pesan kepada mereka ambil yang perlu saja agar tidak membazir selain memberi peluang kepada orang lain,” kata Timbalan Pengerusi Kindness Malaysia Kedah, Mohd Azrul Abd Razak.

Beliau berkata, makanan berkenaan adalah stok tidak habis dijual dan bukannya yang sudah tamat tempoh.

Katanya, makanan diterima daripada pasar raya berkenaan juga masih dalam keadaan elok berikutan itu kualitinya tidak perlu diragui.

Menurutnya antara lokasi tumpuan agihan adalah seperti di Kuala Nerang, Sik, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Alor Setar.

Selain itu, katanya, makanan berkenaan turut diagihkan ke masjid, sekolah pondok dan tahfiz yang dianggap memerlukan.

ANTARA sayur-sayuran dan buah-buahan yang diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan.
ANTARA sayur-sayuran dan buah-buahan yang diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan.

“Program ini dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu kerana masih ramai lagi keluarga kurang mampu untuk membeli makanan kerana kesempitan hidup.

“Peningkatan kos sara juga mendorong Kindness Malaysia Kedah melaksanakan inisiatif ini dengan kerjasama dengan pasar raya berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Apa yang menggembirakan sukarelawan adalah ramai dalam kalangan penerima meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kerana dapat menikmati pelbagai makanan.

Mohd Azrul berkata, meskipun sumbangan dihulurkan tidak besar, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga susah menikmati makanan berkualiti.

Jelasnya, bekalan makanan diagihkan mampu digunakan keluarga atau penerima berkenaan bagi tempoh dua hingga tiga hari.

“Sekurang-kurangnya mereka ini tidak berlapar. Bekalan makanan ini diletakkan di dalam kenderaan khas di parkir di lokasi diketahui umum.

“Kalau ada yang mahukan makanan mereka boleh singgah dan ambil apa saja diperlukan. Biasanya, kami akan membuat hebahan menerusi media sosial seperti Facebook sehari sebelum agihan dibuat,” katanya.

BEKALAN makanan disusun bagi memudahkan penduduk memilih keperluan mereka.
BEKALAN makanan disusun bagi memudahkan penduduk memilih keperluan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 8:40 AM