PEMAIN bersoladariti kepada pemain Selangor, Faisal Halim ketika perlawanan Liga Super 2024/2025 antara Selangor FC bertemu Kedah FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. -FOTO Hairul Anuar Rahim
PEMAIN bersoladariti kepada pemain Selangor, Faisal Halim ketika perlawanan Liga Super 2024/2025 antara Selangor FC bertemu Kedah FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Kemenangan yang diperoleh Selangor FC terhadap Kedah Darul Aman (KDA) FC malam tadi adalah 'hadiah' istimewa buat tonggak pasukan itu Faisal Halim yang kini dirawat di sebuah hospital swasta selepas disimbah asid, baru-baru ini.

Pemain sayap berusia 26 tahun hanya mampu menyaksikan rakan sepasukannya beraksi apabila masih lagi menjalani rawatan di hospital susulan kecederaan lecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik, baru-baru ini.

Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil memaklumkan bahawa kemenangan ini memberi kelegaan seterusnya dapat meredakan tekanan dihadapi Faisal untuk tampil lebih meyakinkan pada perlawanan akan datang.

"Insiden itu memberi kesan kepada pemain pada mulanya tetapi semua orang dalam pasukan ini sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain untuk cuba keluar daripada zon kesedihan ini (insiden Faisal).

"Perkara ini (insiden Faisal) masih melekat dalam kepala semua orang tetapi kita mahu laluinya dengan baik menerusi bola sepak. Sudah tentu tiga mata ini untuk Mickey dan keluarganya.

"Insiden itu membuatkan kita sedar betapa pentingnya semua orang dalam pasukan ini dan ia membawa semangat kebersamaan. Sebagai satu keluarga besar, kita sentiasa berada di belakang Faisal seperti mana dia sentiasa berada di belakang kita setiap kali di atas padang," katanya.

Terdahulu, pemain gantian, Aliff Haiqal Lau muncul wira 'The Red Giants' apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-85 selepas rembatan leretnya menewaskan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz.

Mengulas lanjut aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Nidzam mengakui perubahan taktikal pada babak kedua membantu pasukan itu beraksi dengan lebih baik sehingga berjaya mendapatkan gol kemenangan di hujung permainan.

"Reaksi pada babak kedua amat penting di mana kita minta pemain tengah kita berada di poket kerana pemain lebih ramai di belakang pada separuh masa pertama.

"Kita nak bermain lebih ke depan dan pemain berjaya melakukan seperti yang dirancang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 2:02 PM