Sarimah.
Sarimah.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, 46, terpaksa menunggu kira-kira tiga bulan untuk mendapat balasan kiriman emel yang dihantar kepada guru bimbingan lakonannya, Gerry Grennell dari Ireland.

Sarimah berkata, Gerry seorang yang sangat memilih siapa ingin diajarnya sebab dia tidak melihat siapa yang mampu membayar, sebaliknya dia perlu mendaftar dulu sama ada akan dipilih oleh Gerry untuk diajar atau tidak.

"Jadi, saya menunggulah sehingga dia 'respons' (pada balasan emel dikirim). Dia kata, saya akan ajar awak setiap Selasa dan Jumaat mengikut masa diberikan. Saya juga kena bangun seawal jam 5 pagi.

"Saya buat saja, tapi cabarannya sangat-sangat sukar. Tiga jam saya bersama dengannya dan dia buat analisis skrip, 'character breakdown' (pecahan watak). Tetapi, kita kena ambil apa diajar dan 'apply' dalam industri kita.

"Bagaimanapun, industri (hiburan) kita ada 'style' tersendiri. Jadi, saya tidak boleh 'apply' kesemua yang Gerry ajar kerana kita kena menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Tapi, bolehlah kita bawa kelainan sedikit," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas juga mengenai bayaran dikenakan, Sarimah berkata, ia memang sangat mahal jika mahu berguru dengan tenaga pengajar lakonan profesional dan banyak pengalaman dari luar negara.

"Kalau nak belajar daripada guru lakonan luar negara, anggaran bayaran untuk sejam selalunya antara 300 Euro (RM1,530) hingga 1,000 Euro (RM5,100). Tetapi, Gerry baik hati dengan saya sebab mungkin emak saya pun berasal dari Ireland, jadi dia berilah harga pakej dia.

"Alhamdulillah (dapat harga pakej), kalau tidak saya tak mampu," katanya.

Menurut Sarimah, beliau perlu melalui uji bakat terlebih dulu dengan merakamkan beberapa babak diminta oleh Gerry dan menghantarnya secara emel untuk dibuat penilaian.

"Saya gembira untuk kelas lakonan dengan Gerry ini. Saya keluarkan bajet sendiri dan tidak minta daripada suami langsung. Ia duit yang saya dapat daripada hasil kerja dibuat selama ini.

"Walaupun boleh dikatakan harganya mahal kerana dibayar dengan mata wang Euro untuk setiap kelas, tetapi hasilnya yang saya dapat sangat berbaloi dan memuaskan," katanya mendapatkan latihan lakonan bersama Gerry selama setahun.

Sarimah yang meledak dengan watak Sharifah Qaidah dalam drama Lelaki Itu di TV3 memaklumkan dia juga membuat rujukan watak berkenaan terlebih dulu bersama gurunya, Gerry.

Gerry yang cukup terkenal sebagai guru lakonan bintang ternama Hollywood antaranya Natalie Portman, mendiang Heath Ledger, Tom Cruise dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:19 PM