Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan. Foto Azhar Ramli
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan. Foto Azhar Ramli
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) kepada pekhidmat rumah tangga iaitu pembantu rumah, tukang kebun dan pemandu peribadi di seluruh negara bermula Jun ini.

Dengan peluasan akta itu, pekhidmat rumah tangga berstatus warganegara dan pemastautin tetap yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan mengikut Akta 4 serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, bagi pekhidmat rumah tangga warga asing pula, mereka akan dilindungi Skim Bencana Kerja mengikut Akta 4.

"Kadar bayaran caruman oleh majikan dan pekerja akan mengikut kadar caruman semasa yang terpakai di mengikut Akta 4 dan Akta 800.

"Seramai 104,400 pekhidmat rumah tangga merangkumi 15,000 orang berstatus warganegara Malaysia dan pemastautin tetap serta 89,400 pekerja warga asing dijangka mendapat manfaat daripada perluasan perlindungan di bawah kedua-dua akta ini.

"Perluasan ini membolehkan pekhidmat rumah tangga yang selama ini terkecuali daripada Akta 4 dan Akta 800, mendapat perlindungan keselamatan sosial mengikut kedua-dua akta ini," katanya.

Beliau berkata, Perkeso akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi menjelaskan langkah berkenaan sebelum ia dilaksanakan.

Katanya, langkah itu diambil kerana pekhidmat rumah tangga adalah antara yang paling terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19.

"Sampai masanya kita melindungi semua sektor termasuk mereka ini," katanya.

Menurutnya, sebanyak 2.25 peratus akan dicarum untuk Akta 4 dan 0.4 peratus untuk Akta 800," katanya.

Sementara itu, seramai 13 penerima faedah menerima manfaat berjumlah RM600,000 sempena majlis Iftar Perkeso hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 9:48 PM