Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hana Naz Harun

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang tekanan daripada mana-mana parti politik, memaksanya untuk menghentikan perbicaraan yang sedang berlangsung membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam temubual dengan stesen televisyen Al Jazeera awal pagi hari ini, Perdana Menteri menegaskan meskipun Barisan Nasional (BN) terutama Umno menjadi sebahagian daripada parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan, beliau akui tidak ditekan atau dipaksa untuk mencampuri kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Bekas Perdana Menteri (Najib) berdepan perbicaraan, saya tidak berada dalam situasi di mana saya ditekan untuk hentikan perbicaraan itu.

"Najib masih menjalani perbicaraan besar sekarang atas tuduhan rasuah.

"Gabungan dari partinya (BN/Umno) (dalam Kerajaan Perpaduan) tetapi tiada tekanan kepada saya untuk menghentikan perbicaraan kes yang sedang berjalan," katanya.

Dalam temubual sama, Anwar turut menjawab soalan mengenai keputusan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi membabitkan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden Umno daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Menurut Perdana Menteri, terpulang kepada Peguam Negara untuk menjelaskan mengenai keputusan itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada hendak meneruskan sebarang siasatan terhadap kes berkaitan.

Sama ada pemimpin itu daripada kerajaan atau pembangkang, beliau menegaskan terpulang kepada SPRM untuk menyiasat mereka.

"(Bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong pembangkang dan (bekas Menteri Kewangan) Tun Daim Zainuddin nampaknnya agak neutral. Tapi terdapat siasatan oleh SPRM bahawa berbilion-bilion (ringgit) dikumpulkan.

"Terpulang kepada mereka untuk menjalankan siasatan. Untuk AG (Peguam Negara) jika ada menemui bukti konklusif untuk badan kehakiman mengadili dan membuat keputusan. Ia bukan saya.

"Masalah adalah saya mewarisi sistem yang bersifat autoritarian dan separa diktator serta mengawal badan kehakiman, pendakwaan dan penyiasatan apabila mereka (pernah) memegang jawatan ini," katanya.

Menjawab kerajaan pimpinannya lambat melakukan reformasi ekonomi dan demokrasi, Perdana Menteri menjelaskan sejak memegang jawatan, beliau mengutamakan usaha untuk menstabilkan gabungan itu daripada menyiasat individu berkuasa kerana rasuah.

Mengambil kira kerajaan yang baru ditubuhkan dalam tempoh satu setengah tahun, beliau berkata tidak adil jika ada pihak yang mengatakan kerajaan ditadbirnya gagal menangani isu integriti walhal memerlukan masa untuk membetulkan 'dekad-dekad keterlaluan' dilakukan pimpinan terdahulu.

"Kami melihat percubaan dilakukan pada masa lalu, bahkan di Eropah Timur di mana ada negara berkobar-kobar melakukan reformasi pantas, akhirnya menjadi bencana kepada ekonomi dan politik.

"Dalam kes kami, bertentangan dengan anggapan pembangkang. Apa yang paling penting adalah tatakelola.

"Apa yang kami berjaya lakukan adalah menyiasat penyalahgunaan oleh pemimpin dan anggota Kabinet daripada membazirkan kekayaan melalui rundingan terus, tender besar-besaran bernilai berbilion-bilion dilar. Kami sudah menghentikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:37 PM