PENGAWAL keselamatan diupah kawal pemain dan pengurusan Selangor FC. -FOTO Hairul Anuar Rahim
PENGAWAL keselamatan diupah kawal pemain dan pengurusan Selangor FC. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Demi jaminan keselamatan seluruh pasukan menyebabkan Selangor FC mengambil langkah drastik mengupah beberapa pengawal peribadi untuk menjaga barisan pemain dan kakitangan tertentu dalam skuad Gergasi Merah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon situasi sudah berubah sejak insiden membabitkan tonggak utama mereka Faisal Halim yang disimbah asid apabila pihaknya terpaksa mengetatkan kawalan bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai pasukan lebih terjamin.

Beliau berkata, kawalan keselamatan membabitkan setiap perlawanan yang bakal ditempuhi Selangor FC dalam saingan Liga Super juga dipertingkatkan sekali gus menyaksikan barisan pemain pasukan itu bukan mudah untuk didekati penyokong atau individu tidak dikenali.

"Aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan pertambahan anggota Polis kepada 150 orang manakala 100 marshal mengawal keselamatan perlawanan itu.

"Kawalan kepada pemain juga leibh ketat dan mereka tidak boleh balik sendiri iaitu kena naik bas. Jika dahulu, mereka boleh balik dengan keluarga masing-masing selepas perlawanan namun sekarang ini tidak dibenarkan.

"Pada masa sama, kita juga ada mengupah pengawal peribadi yang akan menjaga individu tertentu dalam pasukan. Perkara sama juga dilakukan terhadap keluarga Faisal," katanya, ketika ditemui sebaik tamat perlawanan membabitkan Selangor FC menentang KDA FC, malam tadi.

Pada perlawanan pertama Selangor FC malam tadi menyaksikan pasukan itu berjaya membawa pulang tiga mata selepas menundukkan KDA FC 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Gol tunggal yang dijaringkan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau sudah cukup memastikan Selangor FC bermula dengan langkah kanan pada musim ini sekali gus meniup semangat pemain untuk mencipta keputusan positif kelak.

Pada perlawanan malam tadi juga menyaksikan terdapat beberapa pengawal peribadi sentiasa mengiringi pemain dan pengurusan Selangor FC bagi mengelak daripada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Malah, pemain juga tidak dibenarkan untuk bertemu penyokong skuad Gergasi Merah apabila mereka dikehendaki terus menaiki bas yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 2:07 PM