ROHANI (dua kiri) diiringi Nora (kiri) menyerahkan replika cek bayaran EMP dan pencen ilat kepada Nor 'Aini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ROHANI (dua kiri) diiringi Nora (kiri) menyerahkan replika cek bayaran EMP dan pencen ilat kepada Nor 'Aini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan sudah membayar faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berjumlah RM4 juta kepada 594 pekerja termasuk yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 2,848 pekerja yang menerima faedah SIP bernilai RM7 juta.

Bagaimanapun, katanya, masih ramai individu atau majikan yang culas atau enggan mencarum SIP sehingga pada satu tahap mereka kehilangan arah tuju apabila terpaksa diberhentikan kerja.

"Tidak dinafikan, terdapat juga majikan mengambil mudah dan tidak membayar caruman SIP yang mula diperkenalkan pada 2017, yang secara tidak langsung boleh membantu pekerja kehilangan punca pendapatan sementara mendapatkan pekerjaan baharu.

"Satu antara sebab majikan tidak membayar SIP adalah mereka beranggapan caruman Perkeso tidak penting sedangkan ia amat penting terutama apabila berlaku kehilangan pekerjaan, selain menguruskan hilang upaya yang berlaku untuk intervensi pemulihan dan kembali semula bekerja.

"Jadi, bagi memberi kesedaran, Perkeso sentiasa mengadakan promosi berterusan mengenai SIP sama ada melalui media sosial atau ceramah di pejabat, namun mungkin disebabkan pandemik Covid-19, ada majikan yang menghadapi sedikit masalah atau kekangan untuk membayar caruman ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Penyampaian Cek Bayaran Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) dan Lawatan Dari Rakan SIP Prihatin Perkeso di Kampung Paya Bemban, di sini, semalam.

Turut hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Terdahulu Nora menyerahkan replika cek bayaran EMP dan pencen ilat kepada Nor 'Aini Zurahim yang kehilangan pekerjaan pada Januari lalu akibat penyakit kanser payudara tahap empat.

Dalam perkembangan sama, Nora berkata, caruman Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Caruman di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) adalah penting kepada pencarum supaya mereka dilindungi jika berlaku perkara tidak diingini dan pihak majikan wajib mencarum untuk pekerja mereka.

"Sepanjang pandemik Covid-19, kami juga sudah membayar sebanyak RM329 juta untuk program subsidi upah kepada majikan yang terkesan untuk meneruskan operasi perniagaan yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Nor 'Aini berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kerana tidak menyangka penderitaan serta kesukaran yang dialami setelah hilang pekerjaan disebabkan penyakit kanser mendapat perhatian daripada Rakan Skuad SIP Perkeso.

"Saya yang sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kawalan keselamatan mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan, namun pada awal Januari lalu mengambil keputusan untuk berhenti disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk terus bekerja.

"Dengan bayaran keseluruhan EMP sebanyak RM4,255 selain menerima pencen ilat secara bulanan berjumlah RM739.80 seumur hidup dapat saya gunakan untuk menampung keperluan perubatan penyakit kanser yang dihidapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:30 AM