BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memberi pilihan kepada pencarum tidak memindahkan caruman mereka ke dalam Akaun 3 (Akaun Fleksibel) adalah satu langkah yang wajar, kata seorang pakar kewangan.

Pengasas dan perunding utama Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir berkata, sesuatu pembaharuan untuk memenuhi permintaan sebahagian pencarum tidak semestinya sesuai untuk semua orang, terutamanya dalam konteks pengenalan Akaun 3.

"Sekiranya pencarum memilih untuk tidak menggunakan Akaun 3, maka tidak ada pilihan baginya untuk mengeluarkan simpanan persaraan daripada akaun itu, termasuk ketika berlaku kecemasan.

"Seharusnya pencarum yang memilih pilihan itu (tidak memindahkan caruman ke dalam Akaun 3) sudah mempunyai akaun kecemasan lain, atau memang mengamalkan tabungan bulanan selain daripada akaun simpanan di KWSP," katanya kepada Bernama.

Rohani berkata, Akaun 3 memberikan kelebihan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang bagi tujuan kecemasan tanpa perlu mendapatkan daripada saluran lain seperti ' along' atau pinjaman berlesen yang membebankan.

Bagaimanapun katanya, pencarum perlu berdisiplin untuk tidak menyalahgunakan kemudahan itu bagi tujuan selain kecemasan kerana ia hanya akan merugikan mereka dan menjejaskan keperluan bagi persaraan kelak.

Jumaat lalu, Ketua Jabatan Strategi dan Polisi KWSP, Balqais Yusoff menerusi satu temu bual dengan sebuah portal berita memaklumkan KWSP memberikan pilihan kepada pencarum untuk tidak memindahkan caruman mereka ke dalam Akaun 3, sekiranya mereka tidak memerlukan kemudahan berkenaan.

Menurutnya, pencarum boleh membuat permohonan untuk membuat pindaan menerusi dalam talian bermula Jun atau Julai, namun sekiranya ingin melakukannya sekarang, mereka perlu berbuat demikian di cawangan KWSP.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar Dr Azizul Azli Ahmad yang juga menjadi penulis buku kewangan "Wang Ada Di Mana" berkata, individu berpendapatan rendah antara golongan yang wajar memanfaatkan penggunaan Akaun 3 untuk mendapat akses kewangan segera.

Selain itu katanya, ibu bapa yang perlu membiayai kos pendidikan anak yang tinggi, atau individu yang terkesan pascapandemik Covid-19 atau kehilangan pekerjaan juga boleh menggunakan wang simpanan daripada Akaun 3.

"Kita tidak boleh keluarkan wang daripada akaun 1 sehingga mencapai usia 55 tahun, Akaun 2 pula mempunyai syarat yang ketat seperti untuk tujuan perumahan, kesihatan dan sebagainya.

"Jadi, Akaun 3 ini membenarkan pencarum mendapat akses kepada simpanan untuk keperluan yang mendesak, kegunaan peribadi dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:40 PM