Isa Isarb.
Isa Isarb.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Program Hero Teladan yang didakwa menempatkan peserta lelaki dan wanita di dalam satu rumah dihentikan serta merta.

Penganjurnya Isa Isarb berkata, pihaknya juga tidak akan lepas tangan mengenai kebajikan atau usaha yang sudah diberikan oleh setiap peserta dalam program itu.

"Dukacita dimaklumkan bahawa program ini terpaksa dihentikan serta-merta.

"Ini adalah kerana program ini mendapat tentangan keras daripada majoriti penonton selepas isu konsep program yang meletakkan peserta lelaki dan perempuan di bawah bumbung yang sama.

"Namun begitu, kami sebagai pihak penganjur tidak akan lepas tangan mengenai kebajikan atau usaha yang telah diberikan oleh setiap peserta dalam program ini.

"Pihak penganjur akan menanggung rugi bersendirian tanpa membabitkan peserta," katanya.

Menerusi notis yang dipaparkan di akaun TikTok miliknya, Isa berkata, pihaknya tetap membuat bayaran hadiah dan elaun kepada setiap peserta mengikut kadar 46 hari program berlangsung.

"Oleh itu, kami membuat keputusan untuk tetap membuat bayaran hadiah dan elaun kepada setiap peserta mengikut kadar 46 hari program berlangsung.

"Kami menyediakan dua cara pembahagian hadiah. Anda perlu memilih kaedah yang anda suka. Sila pilih secara sebulat suara.

"Risiko program ini diteruskan adalah kemungkinan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Negeri, di mana anda dan pihak penganjur berpeluang disabitkan dengan undang-undang syariah Enakmen 11 Tahun 1965, Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1965, Bahagian IX, Seksyen 154," katanya.

Terdahulu, program itu dikecam gara-gara peserta lelaki dan wanita ditempatkan di sebuah rumah yang sama.

Warganet meluahkan rasa kurang senang kerana pergaulan bebas boleh berlaku di antara peserta.

Hero Teladan adalah sebuah program cabaran di mana peserta ditempatkan di dalam sebuah rumah yang dipenuhi kamera untuk mengawasi mereka selama 77 hari.

Peserta yang mampu bertahan akan memenangi wang sebanyak RM40,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:34 PM