PEMAIN Selangor FC, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau ketika perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. -FOTO Hairul Anuar Rahim
PEMAIN Selangor FC, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau ketika perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Suratan atau kebetulan bukanlah perkara utama yang difikirkan pemain berjersi 77, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau selepas muncul wira pasukan untuk tewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.

Bagi Aliff Haiqal jaringan itu sememangnya ditujukan kepada tonggak utama skuad Gergasi Merah Faisal Halim yang sinonim dengan jersi nombor 7 dalam pasukan itu.

Malah, jaringan itu seolah memberi gambaran bahawa Aliff Haiqal kemungkinan akan memainkan peranan lebih besar untuk pasukan seperti yang diinginkan Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil.

"Rezeki saya dapat jaringkan gol penting tetapi saya harus berterima kasih kepada rakan sepasukan lain. Selepas jaringkan gol itu, sejujurnya saya hilang kata-kata tetapi puas dapat tolong pasukan dan pastinya saya terbayang muka sahabat saya (Faisal).

"Kami akan sentiasa berada di belakangnya dan kemenangan ini juga untuk dia. Kalau jurulatih letakkan saya dalam kesebelasan utama saya akan buat terbaik dan jika orang gelarkan saya 'super sub' pun saya terima," katanya.

Kemenangan Selangor FC itu sudah pastinya mengembalikan semua motivasi Red Giants yang dihimpit isu keselamatan ekoran insiden Faisal disimbah asid oleh individu tidak dikenali dan kini sedang menjalani rawatan.

Bagaimanapun, Aliff Haiqal akui tidak menyangka bakal memiliki peluang seperti itu kerana sedar KDA FC dibarisi pemain berkualiti yang mampu menutup ruang sebaiknya.

"KDA FC pasukan yang bagus daripada segi bertahan dan menyerang. Pastinya saya pun tidak sangka dapat bola seperti itu tetapi inilah rezeki saya dapat bantu pasukan catat kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:52 PM