AKSI pemain Malaysia ketika menentang pasukan China dalam kategori regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa. -FOTO Bernama
AKSI pemain Malaysia ketika menentang pasukan China dalam kategori regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Sistem kiraan mata baharu yang diperkenalkan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 ternyata mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada pemain sehingga ada yang menyatakan mereka tidak sempat berpeluh sebelum permainan tamat.

Ketua pasukan regu Malaysia, Farhan Adam berkata, sistem baharu dengan kiraan 15 mata dan satu servis ternyata memendekkan masa permainan dan ada kala pemain tidak dapat merasai nikmat perlawanan itu.

Disebabkan itu, pasukan negara tidak boleh lambat panas sebaliknya perlu cepat mendapatkan rentak permainan dan tidak lagi boleh lagi melakukan pelbagai kesilapan di awal permainan.

"Kalau ikut saya memang dari segi kepuasan itu tak ada. Sebab dia kalau mata agak jauh memang kepuasan tak rasa. Tapi, bila ada tentangan yang sengit mungkin dekat situ baru kita dapat rasa.

"Sekarang ini bila masuk dalam gelanggang dan tak ada masa untuk rentak permainan. Masuk tu memang terus pergi (dapatkan mata) je," katanya selepas tamat perlawanan malam tadi.

Selain itu, pemain berpengalaman itu juga menagih sokongan penyokong untuk terus membanjiri Stadium Titiwangsa setiap kali Malaysia bermain kerana kehadiran mereka itu memberi tonik kepada pemain ketika berdepan pasukan lawan.

"Kami mengharapkan bantuan daripada penyokong yang ada pada hari ni (semalam). Terima kasih banyak-banyak," kata Farhan.

Terdahulu, kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 diadakan di Stadium Titiwangsa itu memperlihatkan tiga acara dipertandingkan dalam kejohanan itu bermula 18 hingga 26 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:41 PM