NAFUZI akui penyudah tumpul punca Kedah FC tewas. -FOTO Hairul Anuar Rahim
NAFUZI akui penyudah tumpul punca Kedah FC tewas. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Jentera serangan Kedah Darul Aman (KDA) FC 'sendu' menyebabkan setiap serangan gagal diterjemahkan kepada gol hingga menyebabkan tewas 0-1 kepada Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Ketika KDA FC mengimpikan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, pemain gantian Selangor FC, Aliff Haiqal Lau meledak gol kemenangan pada minit ke-85 untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat 'The Red Giants' pada musim ini.

Pengendali skuad 'Kenari', Nafuzi Zain mengakui penyudah yang tumpul menjadi punca mereka terpaksa berputih mata di tempat lawan sekali gus mengharapkan anak buahnya dapat memperbaiki aspek terbabit menjelang aksi seterusnya menentang Perak FC di laman sendiri, Jumaat ini.

"Saya fikir keputusan seri adalah adil tetapi Selangor FC manfaatkan peluang mereka dan kita tidak. Saya berbangga dengan komitmen ditunjukkan pemain bagi aksi malam ini (kelmarin).

"Apa yang penting adalah kita mencipta peluang kerana kalau kita tidak mencipta peluang, itulah yang saya risaukan. Tetapi memang dari segi penyudah itu, kita kena sempurnakan apatah lagi menentang pasukan seperti Selangor FC yang kita tidak akan dapat banyak peluang.

"Jadi, kita kena perbaiki perkara ini supaya ia tidak berlaku lagi. Kita baru mengharungi dua perlawanan dan kita ada masa untuk menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya.

Selepas mengharungi dua perlawanan, KDA FC masih gagal mengutip sebarang mata meskipun berjaya membuka kempen Liga Super musim ini dengan kemenangan tipis 0-1 ke atas PDRM FC, minggu lalu.

Ini kerana mereka memulakan musim dengan negatif tiga mata susulan dikenakan pemotongan tiga mata oleh First Instance Body (FIB) susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji dan pemain bagi musim 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:55 PM