AKSI Tekong negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi antara yang digeruni. -FOTO Bernama
AKSI Tekong negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi antara yang digeruni. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jurulatih Brunei, Abdul Talib Ahmad berjanji skuad kendaliannya akan turun memberi saingan sebaik mungkin kepada Malaysia dalam Kumpulan B bagi acara regu meskipun Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 biarpun menyedari terdapat perbezaan dari segi pengalaman kedua-dua pasukan.

Jelasnya, beliau yang pernah melatih pasukan negara sedikit sebanyak mengetahui corak permainan pemain Malaysia dan Abdul Talib berpendapat sekiranya pemain berjaya mengimbangi servis dari Mohammad Syahir Mohd Rosdi, pasukannya ada harapan untuk mendapatkan mata.

"Sebenarnya, sepak takraw yang penting dari segi tentangan, di Brunei tak ada yang servis macam Syahir. Tapi, masa berlatih, kita menggunakan raket untuk pemain biasakan menerima bola laju.

"Seperti Syahir, kalau ikutkan servisnya, 75 hingga 80 kilometer (KM) sejam. Di Brunei, ada servis dalam 65 sehinga 70km. Kami tak ada yang servis macam Syahir. Tapi, kami tak akan mengalah. Kami akan cuba yang terbaik.

Sementara itu, meskipun dilihat mempunyai peluang begitu cerah dan tidak berhadapan masalah besar dalam perlawanan kedua menentang Brunei malam ini, Malaysia tetap berwaspada dengan lawan mereka dan beranggapan mereka bakal berhadapan lawan sengit nanti.

Apit kiri pasukan regu Malaysia, Farhan Adam berkata, Brunie mempunyai kekuatan tersendiri dan mereka tidak boleh memandang rendah apatah lagi pasukan itu dilatih bekas jurulatih kebangsaan yang membawa skuad negara menang pingat emas di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:50 PM