GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Azizah Mokhtar


“BUKAN disaman kerana guna Waze (aplikasi navigasi) tetapi saman kerana pemandu terbabit memegang telefon bimbit semasa memandu.”

Itu komen Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berhubung penyebaran satu gambar salinan surat saman dan nota suara seorang lelaki mendakwa disaman kerana menggunakan aplikasi Waze semasa memandu, semalam.

"Saya sudah semak dan teliti perkara ini. Saman berkenaan dikeluarkan kerana individu berkenaan didapati sebelah tangannya memegang telefon bimbit semasa memandu.

"Saman berkenaan bukan kerana dia gunakan Waze atau apa sahaja aplikasi dalam telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya lagi, jika telefon bimbit berkenaan diletakkan pada pemegang telefon bimbit atau diletakkan pada papan pemuka kenderaan (dashboard), maka ia tidak menjadi satu kesalahan.

Semalam, tular satu gambar salinan surat saman yang dikeluarkan pihak polis bertarikh 9 April 2018 kepada seorang individu menunjukkan dia disaman di Jalan Puchong Perdana di sini, atas kesalahan memandu sambil menggunakan alat komunikasi.

Bersama gambar salinan surat saman, turut tular satu nota suara seorang lelaki berdurasi 22 saat mendakwa dia disaman kerana menggunakan aplikasi Waze.

Bagaimanapun, rata-rata netizen menyokong tindakan polis kerana faham saman berkenaan dikeluarkan atas sebab yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:48 AM