BANJIR kilat di Kampung Sungai Penchala Dalam, kelmarin.
BANJIR kilat di Kampung Sungai Penchala Dalam, kelmarin.
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Keadaan sungai yang tidak diselenggara antara penyebab kejiranan kami mudah dinaiki air. Hujan lebat tidak sampai satu jam pun sudah banjir,” kata Azilah Wahid, 37, mangsa banjir kilat di Kampung Sungai Penchala Dalam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang, lebih 30 kediaman di kejiranan itu dinaiki air setinggi 0.5 meter susulan hujan lebat sejam di kawasan itu.

Menurut Azilah, banjir kilat semalam ialah kejadian kedua tahun ini menyebabkan mereka menanggung kerugian akibat perabot dan kelengkapan kediaman rosak.

“Baru bulan lalu banjir kilat. Semalam (kelmarin) kena lagi, kejadian paling teruk pada tahun lalu. Kedudukan rumah kami cuma empat meter saja dari tebing sungai, bila alirannya tersekat air melimpah ke kediaman penduduk.

“Sudah sampai masanya sungai itu dikorek dan diselenggara untuk mengelakkan aliran tersekat. Seingat kami kali terakhir penyelenggaraan sungai ini dilakukan beberapa tahun lalu,” katanya.

Azilah yang juga penduduk asal kejiranan itu mendakwa projek pembangunan yang rancak di kawasan bukit berhampiran turut menyebabkan berlaku banjir kilat.

“Aktiviti penggondolan bukit dan penebangan hutan giat dilakukan untuk pembangunan projek banglo mewah dan kondominium.

“Bila berlaku hujan lebat, air akan terus mengalur ke sungai akibat tidak ada kolam tadahan, berikutan itu kami tinggal di kawasan rendah jadi mangsa,” katanya.

Berikutan itu Azilah berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Jabatan Pengairan Saluran (JPS) peka dengan masalah dihadapi mereka yang sudah berlarutan dalam tempoh lama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 6:08 AM