Mangsa banjir, Mohd Khairi  sedang mengemas rumahnya selepas banjir surut di Kampung Jimah Lama, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARI
Mangsa banjir, Mohd Khairi sedang mengemas rumahnya selepas banjir surut di Kampung Jimah Lama, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARI
Mohd Khidir Zakaria


HUJAN lebat sejak jam 2 pagi menyebabkan beberapa rumah mengalami banjir kilat di Kampung Jimah Lama, Port Dickson, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati air melimpah dari Sungai Jimah sejak awal pagi ketika penghuninya sedang nyenyak tidur menyebabkan banyak peralatan rumah terutama barangan elektrik rosak.

Menurut mangsa, Rahimah Abd Majid, 54, dia terjaga daripada tidur pada jam 3 pagi ketika hujan sedang lebat.

"Saya dan dua anak lelaki berusia 30 dan 32 tahun memang tidur di bawah kerana bilik di tingkat atas tidak sesuai diduduki kerana rumah serta tiang yang sudah reput akibat selalu dilanda banjir.

"Air mula masuk ke dalam rumah pada jam 4 pagi dan kami tiga beranak cuba menyelamatkan barangan terutama barangan elektrik.

"Yang paling saya bimbangkan ialah keadaan rumah yang semakin uzur menanti masa menyembah bumi kerana struktur tiang semakin mereput," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Jirannya, Mohd Khairi Razali, 42, berkata, air mula masuk ke dalam rumahnya pada jam 4 pagi dan dia segera mengejutkan isteri serta lima anaknya yang sedang tidur di dalam bilik.

"Saya tidak boleh tidur sejak hujan lebat bermula jam 2 pagi lagi kerana kawasan rumah sering dinaiki air yang melimpah dari sungai dan kami sekeluarga sentiasa bersedia jika keadaan semakin buruk.

"Air mula masuk sedalam hampir satu meter dan saya hanya bimbangkan binatang berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking kerana biasanya ia akan turut merayap menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia Ramlan Mohamad, 43, berkata, dia bersama beberapa rakan setugas bergegas ke beberapa rumah yang sedang dinaiki air untuk membantu mangsa.

"Kami mula bertugas seawal jam 3 pagi ketika hujan sedang lebat kerana kawasan ini sering dilanda banjir kilat.

"Dalam tempoh dua tahun, inilah banjir paling teruk, mungkin kerana keadaan sungai yang perlu diselenggara semula.

"Saya berharap agar sungai ini dikorek semula. Ia dipercayai penyebab kepada banjir kilat dan keadaan akan bertambah teruk jika tidak diselenggara secepat mungkin," katanya.

Menurutnya, lebih daripada 10 rumah terjejas akibat banjir itu dan setakat ini tiada permindahan mangsa dibuat.

"Saya harap pihak berkaitan dan pemimpin masyarakat dapat hadir membantu bagi meringankan beban beberapa mangsa yang terjejas akibat banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 5:20 PM