PENDUDUK mengharungi air  banjir kilat di Kampung Gelong Rambai, Mukim Jeram,Tunjang. FOTO Amran Hamid
PENDUDUK mengharungi air banjir kilat di Kampung Gelong Rambai, Mukim Jeram,Tunjang. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


Jitra: Enam rumah di Kampung Gelong Rambai, Tunjang, dinaiki air akibat banjir kilat selepas hujan sejak awal pagi tadi.

Kejadian banjir kilat yang berlaku itu mula disedari oleh penduduk di kawasan berkenaan sekitar 6 pagi apabila air dari kawasan parit yang berada di sekitar kawasan kediaman mereka mula melimpah dan memenuhi segenap pelusuk halaman kediaman di kawasan terbabit.

Seorang penduduk, Azhari Haron, 46, berkata, hujan berlaku sekitar 1 pagi dan berterusan sehingga menjelang subuh menyebabkan parit di kawasan kediaman berkenaan mula dipenuhi air sehingga melimpah.

“Dalam jam 6 pagi, saya melihat limpahan air itu mula mengalir masuk ke rumah saya yang juga adalah premis kedai makan di kampung ini.

“Air yang mengalir tidaklah tinggi cuma hanya setinggi paras buku lali dan tidak sampai satu meter pun tetapi alirannya laju menyebabkan ia terus mengalir memasuki kawasan rumah saya.

“Situasi itu membuatkan saya segera meletakkan barang seperti pakaian, kasut atau apa jua yang diletakkan di lantai ke tempat yang lebih tinggi,” katanya kepada Harian Metro di kediamannya di kampung itu, hari ini.

Tambahnya lagi, punca banjir kilat itu berlaku adalah disebabkan sistem perparitan di sekitar kawasan kediaman itu yang tidak diselenggara dengan baik oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Parit ini adalah dibawah kawal selia MADA dan masalah ini berlaku apabila parit ini tidak diselenggara dengan baik serta kerap menyebabkan ia tidak mampu lagi menampung isipadu air yang memasuki parit berkenaan apabila berlakunya hujan lebat.

“Malah, kawasan kediaman di kampung ini adalah laluan terakhir bagi aliran air dari beberapa buah kampung berhampiran menyebabkan air yang sudah bertakung itu melimpah ke kawasanini,” katanya lagi.

Azhari berkata, kejadian itu menyebabkan dia terpaksa mencuci halaman rumahnya sebelum membuka perniagaan kedai makannya kira-kira7 pagi.

“Kita menggesa pihak berkenaan supaya janganlah menagmbil ringan masalah yang dihadapi oleh kami disini kerana setiap kali hujan, kami akan menjadi risau seandainya berlaku banjir kilat.

“Kami juga sudah tidak larat untuk membersihkan lagi halaman rumah akibat banjir kilat yang berlaku jadi kami mohon supaya masalah ini dapat diatasi segera,” katanya lagi.

Tinjauan Harian Metro di kawasan banjir kilat itu mendapati penduduk di kawasan terjejas mengambil kesempatan cuti peristiwa selepas kejayaan pasukan bola sepak Kedah menjuarai Piala Malaysia 2016 malam tadi untuk membersihkan rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 9:00 PM