MOHD Isa  menunjukkan paras air yang naik dalam kejadian  banjir kilat di Kampung Gunung Bongsu. semalam.
MOHD Isa menunjukkan paras air yang naik dalam kejadian banjir kilat di Kampung Gunung Bongsu. semalam.
Azahar Hashim

Kulim: “Saya sudah tak larat nak cuci, perabot pun tak diganti takut rosak lagi,” kata mangsa banjir, Saharuddin Sawai, 41, dari Kampung Gunung Bongsu.

Kejadian banjir kilat jam 5.30 petang kelmarin itu adalah yang kedua dalam masa seminggu sekali gus menjejaskan sembilan rumah terletak berhampiran Sungai Sang.

Menurut Saharuddin ketika kejadian dia berehat di rumah bersama ahli keluarganya sebelum hujan lebat hampir sejam.

“Diikutkan hujan minggu lalu lagi lebat dan kami tidak menyangka akan berlaku banjir kilat.

“Selepas sejam hujan secara tiba-tiba air melimpah ke halaman dan memasuki rumah.

“Air naik tidak sampai lima minit di dalam rumah sehingga paras betis dan kami kemudian bertungkus lumus menyelamatkan barangan di dalam rumah ke tempat lebih tinggi,” katanya ditemui ketika membersihkan rumahnya dekat sini, semalam.

Saharudin berkata, ketika banjir minggu lalu air naik sehingga paras pahanya dan banyak barangan kelengkapan rosak termasuk perabot.

Katanya, kini mereka tidak lagi membeli perabot baru kerana sering mengalami kerosakan akibat banjir kilat yang bercampur dengan selut.

“Banjir kilat semalam (kelmarin) adalah yang kedua tahun ini. Tahun lalu tiada banjir kilat namun pada 2015 dan 2016 banjir kilat sering berlaku.

“Saya berharap pihak yang berkenaan dapat melakukan tindakan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Isa Shaari, 58, berkata, dia berharap ada pihak dapat menyelesaikan masalah banjir kilat dihadapi mereka.

Katanya, dalam kejadian petang kelmarin, rumahnya tidak dimasuki air kerana dia meletak benteng pasir.

“Air hanya naik di kawasan halaman rumah paras betis dan ketika memantau sungai di belakang rumah saya lihat arusnya begitu kuat sehingga air melimpah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gunung Bongsu, Ismail Osman berkata, punca kejadian banjir kilat di kampung terbabit kerana terowong sungai di bawah Jalan Gunung Bongsu yang sempit.

Katanya, beberapa tahun lalu lebar sungai terbabit tiga meter saja, namun kini menjadi tujuh meter tetapi pembinaan terowong air di bawah jalan mengikut saiz lama.

“Terowong air yang sempit itu menyebabkan pergerakan aliran air tersekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:40 AM