KEADAAN bukit yang digondolkan dipercayai menjadi punca  banjir kilat di Kampung Dingkir, Inas.
KEADAAN bukit yang digondolkan dipercayai menjadi punca banjir kilat di Kampung Dingkir, Inas.
Amran Yahya


KUALA PILAH: Penduduk Kampung Dingkir, Inas di sini, mendakwa aktiviti pencerobohan Hutan Simpan Senaling di kawasan berhampiran menjadi punca banjir kilat, kebelakangan ini.

Peniaga Norman Kassim, 49, mendakwa dia menetap di kampung itu sejak kecil dan banjir kilat pada 1 November lalu adalah pertama kali berlaku.

Menurutnya, air bersama lumpur naik mendadak masuk ke kedai makannya selepas hujan lebat selama dua jam.

“Kejadian itu amat mengejutkan saya kerana sebelum ini tidak pernah banjir walaupun hujan lebat berpanjangan.

“Selepas kejadian itu, saya berada dalam keadaan berjaga-jaga setiap kali hujan kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Dakwanya, aktiviti penggondolan hutan berhampiran sejak tiga tahun lalu dipercayai punca berlaku masalah itu dan perlu ditangani segera.

Pengerusi Kariah Kampung Dingkir, Muhammad Azam Abas, 60, berkata aktiviti penggondolan hutan sudah lama berlaku, tetapi mereka tidak mengetahui siapa pihak terbabit.

“Sebelum ini ada mengatakan semua balak dari hutan itu akan dikeluarkan dan diganti tanaman kelapa sawit, getah atau durian Musang King. Namun, sehingga kini saya tidak dimaklumkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, hutan simpan berkenaan dipajak kepada sebuah syarikat untuk tanaman semula getah klon sejak tahun lalu oleh Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Menurutnya, syarikat berkenaan sudah melaksanakan langkah keselamatan seperti membina saliran dan kolam takungan air seperti ditetapkan.

“Bagaimanapun, pada hari kejadian, hujan terlalu lebat menyebabkan dua kolam takungan air pecah dan dipercayai menjadi punca banjir kilat,” katanya.

Katanya, syarikat itu akan mengambil tindakan segera termasuk membaik pulih kolam takungan supaya kejadian sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 5:50 AM