Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bukan sahaja air berwarna hitam dan busuk malah sampah sarap seperti plastik, botol plastik serta kotak syarikat penghantar makanan turut mencemari anak sungai di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di sini.

Tinjauan dilakukan di kawasan berkenaan yang lima hari lalu digemparkan dengan kejadian banjir merah mendapati, kelodak berwarna hitam selain pokok kiambang dilihat memenuhi anak sungai yang bersambung dengan Sungai Perling itu.

Tebing anak sungai berkenaan juga dipenuhi pelbagai sampah sarap terutama botol plastik yang dipercayai tersangkut apabila air pasang.

Penduduk Kampung Seri Jaya Baru, Mohd Aidil Rahmat, 45, berkata itu adalah pemandangan biasa anak sungai yang terletak di kawasan penempatan penduduk di situ, sejak sekian lama, malah penduduk turut pernah menemui mesin basuh dan peti sejuk beku dibuang ke anak sungai di situ.

Katanya, kejadian banjir kilat kerap melanda kawasan berkenaan setiap kali air pasang besar diikuti hujan lebat lebih dua atau tiga jam.

"Tahun ini sahaja sudah tiga kali banjir kilat melanda kawasan kampung dengan Khamis lalu banjir merah yang membuatkan penduduk terkejut.

"Bukan sahaja anak sungai di sini dipenuhi sampah malah ia semakin cetek dan dipenuhi kelodak lumpur hitam berikutan jarang diselenggara, menyebabkan apabila hujan lebat lama bertembung dengan air pasang, air sungai akan melimpah ke rumah penduduk sehingga hampir satu meter.

"Keadaan pintu pam air yang tidak berfungsi setiap kali banjir kilat melanda kampung juga menimbulkan tanda tanya dan menyebabkan penduduk kampung kecewa kerana jika ia berfungsi dengan baik, kejadian banjir kilat dapat dielakkan.

"Apa yang paling kami kesalkan adalah penduduk kampung di sini, dituduh tiada sivik dan suka membuang sampah ke dalam sungai. Kami tidaklah bodoh dan mensabotaj diri sendiri sehingga sengaja menyebabkan rumah kami kerap kali ditenggelami banjir kilat dan harta benda pun rosak, ia langsung tidak masuk akal," katanya ketika ditemui.

Sampah sarap yang berada di tebing sungai mencemari anak sungai di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Sampah sarap yang berada di tebing sungai mencemari anak sungai di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Peti sejuk, tilam, tayar, sisa pokok dan ratusan plastik sampah antara bahan buangan ditemui petugas kebersihan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), yang melaksanakan kerja pembersihan di sungai, parit, longkang serta saliran utama susulan banjir kilat di bandar raya ini, Khamis lalu.

MBJB dalam kenyataannya berkata, kerja pembersihan itu dilaksanakan mulai Jumaat dan Sabtu lalu secara manual menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kren bagi tujuan pembersihan sampah di laluan saliran utama.

Khamis lalu pula, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya segera menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, baginda juga mahukan kedua-dua pihak berkenaan supaya segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandar raya ini selepas hujan lebat lebih tiga jam, Khamis lalu.

Sementara itu, ahli jawatankuasa bertindak banjir kilat kampung berkenaan, Mahathir Abdul Rahman, 44, mendakwa kekerapan banjir kilat yang melanda rangkaian Kampung Seri Jaya Baru, Seri Jaya, Seri Serdang dan Kampung Pasir, di situ, berikutan pam pintu air yang lambat dihidupkan apabila air sungai melimpah.

"Pintu mekanikal yang bersambung antara Sungai Perling dan anak sungai di kawasan kampung tersekat berikutan besinya yang patah menyebabkan ia tidak dapat ditutup secara automatik menyebabkan air pasang dan hujan yang lebat melimpahkan air sungai ke rumah penduduk.

"Petugas yang menjaga pam juga tiada di rumah pam air setiap kali air pasang dan hujan lebat menyebabkan pam air lambat dihidupkan menyebabkan penduduk menjadi mangsa banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 4:56 PM