Khairy mengenakan stokin berbeza tanda sokongan kepada Kak Hana dan Aisha. FOTO Ihsan IG khairykj
Khairy mengenakan stokin berbeza tanda sokongan kepada Kak Hana dan Aisha. FOTO Ihsan IG khairykj
Luqman Arif Abdul Karim

STOKIN berbelang serta warna terang sememangnya sinonim dengan identiti Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sering menampilkan kelainan, selari acuan golongan muda.

Bagaimanapun, keberanian pemimpin berusia 42 tahun itu memakai stokin ‘€˜mencolok mata’€™ hari ini agak pelik dan menimbulkan tanya apabila mengenakan sarung kaki berwarna kuning pada kaki kanan dan berbelang biru, hitam serta hitam coklat untuk sebelah lagi.

“Saya suka stokin terang, tetapi hari ini ia tidak sepadan. Adakah angkara saya tergesa-gesa untuk menghadiri mesyuarat Kabinet sehingga tidak dapat cari sepasang yang sepadan?

"Adakah ini OOTD (Outfit Of The Day) terbaharu?” katanya menerusi catatan di laman Instragram miliknya, hari ini.

Menyangkal tanggapan 854,000 pengikutnya, Khairy menjelaskan, pemakaian stokin bercelaru warna dan corak itu adalah sempena meraikan Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut 21 Mac pada setiap tahun.

Katanya, ia antara lain peringatan kepada masyarakat bahawa manusia dan segelintir perkara mungkin tampak berbeza, namun masih indah serta mengagumkan menerusi kaca mata seperti sedia ada.

"Hari Sindrom Down Sedunia menitipkan mesej untuk menyayangi manusia seperti sedia ada. Hari ini, saya turut menzahirkan penghormatan kepada anak saudara, Aisha.

"Aisha mempunyai Sindrom Down, tetapi ia tidak pernah dijadikan sebagai rintangan untuk dia mengejar impiannya.

"Dia bijak, cantik, kelakar, aktif dan sentiasa menampilkan diri sebagai jurucakap yang mempunyai keberanian ketika menyampaikan ucaptama mengenai perjuangan ke arah sistem pendidikan menyeluruh, dengan mengetepikan perbezaan antara kanak-kanak biasa serta istimewa," katanya.

Menggambarkan pekerti itu sebagai sumber inspirasi, Khairy berkata, ia pemangkin ke arah usaha menghapuskan jurang perbezaan antara individu yang dilahirkan dengan kebolehan berlainan, selain memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada arus perdana.

Penanda aras sebuah kemasyarakatan, katanya, bersandarkan kaedah pengurusan dan pemberian khidmat kepada insan yang memerlukan penjagaan serta kasih sayang.

"Hari ini juga adalah satu penghormatan kepada ibu Aisha, Kak Hana yang membesarkan insan istimewa ini secara berseorangan, malah saya teringat mengenai satu soalan kepadanya.

"Jika Kak Hana dikurniakan pilihan untuk membuat perubahan, adakah dia akan menukar takdir Aisha supaya tidak dilahirkan dengan Sindrom Down

"Kakak saya sebaliknya kata, dia tidak mungkin mengubah apa-apa kerana langkah sedemikian bakal membuatkan Aisha bukan lagi istimewa pada dirinya," katanya.

Selain memuat naik tiga gambar, iaitu ‘€˜stokin celaru’€™, Aisha dan Kak Hana, Khairy berkongsi pautan video bertajuk "50 mums, 50 kids, 1 extra chromosome" (50 ibu, 50 kanak-kanak, satu kromosom).

Katanya, video selama 4:38 minit itu turut memaparkan maklum balas daripada selebriti kelahiran United Kingdom, James Kimberley Corden yang menyifatkan ia karaoke dalam kereta paling menghiburkan.

"Betul katanya walaupun selepas tempoh seribu tahun sekali pun. Selamat Hari Sindrom Down Sedunia," katanya sambil menyertakan bait lirik lagu Nirvana, Come As You Are yang dipopularkan pada 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 3:23 PM