PEMINAT anak patung syarikat Lottie Dolls, Rosie Barnett yang menghidap Sindrom Down. FOTO agensi
PEMINAT anak patung syarikat Lottie Dolls, Rosie Barnett yang menghidap Sindrom Down. FOTO agensi
Agensi

Dublin: Syarikat alat permainan Ireland mencipta anak patung Sindrom Down yang diilhamkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Anak patung itu dinamakan Rosie Boo sempena nama kanak-kanak berkenaan, Rosie Barnett dari Wiltshire, England yang juga seorang Sindrom Down.

Pengasas bersama Syarikat Lottie Dolls, Ian Harkin berkata, mereka memutuskan mengeluarkan model anak patung itu selepas ibu bapa kanak-kanak itu meraih perhatian ramai dengan penghasilan rumah pokok Lottie Doll bersaiz besar di halaman rumah mereka, tahun lalu.

Katanya, anak patung Rosie Boo dilengkapi stoking yang warnanya tidak sepadan, simbol yang dipakai bagi meraikan Hari Sindrom Down Sedunia (WDSD).

Sementara itu, bapa Rosie, Jason Kneen berkata, mereka berbesar hati dapat meningkatkan kesedaran Sindrom Down dan mendidik kanak-kanak mengenai perbezaan dan keistimewaan golongan Sindrom Down.

"Apa yang bagusnya mengenai Lottie ini mereka mempelbagaikan dan inklusif dalam mereka bentuk sesuatu anak patung.

"Amat penting mereka mencipta kelainan upaya dan jenis badan yang memberikan peluang terbaik dengan maklumat tambahan diselitkan dalam paket bungkusan," katanya dalam portal Mirror.co.

Tempahan anak patung itu mula dibuka sejak minggu lalu sempena sambutan WDSD pada 21 Mac.

Sebahagian hasil jualan di laman web akan disalurkan kepada badan amal Sindrom Down tempatan, Andover Twenty1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:32 AM