SEBAHAGIAN kanak-kanak ketika sesi pembelajaran pada Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas di Persatuan Sindrom Down Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir.
SEBAHAGIAN kanak-kanak ketika sesi pembelajaran pada Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas di Persatuan Sindrom Down Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Persatuan Sindrom Down Kedah (PSDK) yang ditubuhkan pada 19 Januari 2004 membantu ramai yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) untuk mendapat perhatian dan pembelajaran sepenuhnya.

Pusat kebajikan yang terletak di Jalan Teratai 1, Jalan Pegawai itu adalah sebuah pertubuhan sukarelawan kebajikan (PSK) yang mendapat pengiktirafan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di peringkat negeri dan kebangsaan yang menjaga kebajikan individu serta keluarga mereka.

Presidennya, Mohd Johari Hassan berkata, setakat ini seramai 22 kanak-kanak dan remaja OKU sindrom down berusia antara empat hingga 17 tahun ditempatkan di pusat jagaan harian itu.

Katanya, pusat kebajikan itu umpama sekolah kerana semua kanak-kanak yang ditempatkan di situ diajar dalam bidang kurikulum serta ko-kurikulum.

"Terdapat tiga guru yang mengajar kanak-kanak sindrom down serta autisme setiap hari dan kita nampak mereka sangat seronok berada di sini.

"Kita mengambil kanak-kanak yang tinggal di kawasan Alor Setar kerana lokasinya dekat namun jika ada keluarga yang mempunyai anak sindrom down, mereka boleh mendaftar anak mereka melalui pertubuhan pemulihan dalam komuniti yang dekat dengan tempat tinggal mereka," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pusat kebajikan ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada anak sindrom down menyesuaikan diri dengan rakan mereka.

Katanya, biasanya golongan ini lebih suka menyendiri namun apabila berada bersama rakan di sini, mereka akan bermain bersama sehingga dijemput ibu bapa masing-masing.

"Pertubuhan ini sudah diwujudkan sejak 20 tahun lalu dan setiap Ogos, kita akan meraikan bulan kemerdekaan bersama anak-anak ini supaya mereka dapat menghayati bulan kemerdekaan itu.

"Pada 21 Mac setiap tahun, kita akan meraikan Hari Sindrom Down Sedunia manakala 3 Disember pula adalah sambutan Hari OKU Sedunia," katanya.

Johari berkata, pihaknya mengalu-alukan ibu bapa menghantar anak mereka yang mengalami sindrom down ke pusat kebajikan seperti itu tanpa melalui tapisan.

Katanya, mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk belajar berdikari di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 5:01 PM