Saidatul Asmah melayan anak kembar istimewanya makan ketika hadir ke Program Korban Aidiladha 2019 anjuran YKKK dan Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan di Kota Bharu, semalam. Foto Hazira Ahmad Zaidi
Saidatul Asmah melayan anak kembar istimewanya makan ketika hadir ke Program Korban Aidiladha 2019 anjuran YKKK dan Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan di Kota Bharu, semalam. Foto Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


“KEHADIRAN pasangan kembar Yusuf dan Yunus adalah anugerah terindah kiriman Allah SWT kepada kami. Saya dan suami sentiasa berusaha memberikan kehidupan terbaik kepada mereka,” kata Saidatul Asmah Ismail, 52.

Menurut Saidatul Asmah, anak kedua dan ketiga daripada lima beradik, Muhd Yusuf serta Muhd Yunus Mahadi, 27, itu disahkan menghidap sindrom down sejak lahir.

Katanya, ketika disahkan mengandung pasangan kembar, dia dan suami, Mahadi Hassan, 58, sangat teruja menanti kelahiran cahaya mata walaupun pada waktu itu dia mengalami alahan teruk.

“Ketika itu, kandungan saya tidak mempunyai masalah sehingga proses kelahiran dan selepas mereka dilahirkan doktor memaklumkan kedua-duanya menghidap sindrom down serta tempoh hayat mereka juga hanya tiga tahun saja.

“Bagaimanapun, doktor hanya memberitahu berdasarkan apa yang mereka pelajari daripada sudut perubatan tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya apabila Yusuf dan Yunus membesar dengan baik walaupun mempunyai beberapa komplikasi.

“Mereka juga dilahirkan pada waktu dan tarikh yang berbeza iaitu Yusuf pada 11.56 malam, manakala Yunus 12.15 tengah malam,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Program Korban Aidiladha 2019 yang dianjurkan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) dan Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan di Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

Saidatul Asmah berkata, bagi memberi sepenuh perhatian kepada dua anaknya itu, dia yang dulu bekerja sebagai kakitangan awam di Kuala Lumpur mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas melahirkan Yusuf dan Yunus pada 1991.

“Selepas dilahirkan, kedua-dua anak mempunyai masalah jantung berlubang, namun lubang di jantung mereka sudah tertutup ketika berusia setahun lebih.

“Yusuf paling kerap keluar masuk hospital dan wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) boleh diibaratkan sebagai rumah kedua kami kerana Yusuf dilahirkan tanpa lubang dubur selain beberapa komplikasi lain.

“Namun yang paling menyedihkan, selama lebih dua tahun Yusuf terpaksa bergantung kepada beg stoma untuk membuang air besar sehingga dia menjalani pembedahan menebuk lubang dubur ketika berusia dua tahun,” katanya yang tinggal di Taman Desa Kujid, Panji.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa mengharapkan untuk mendapat anak yang comel dan sempurna tetapi namun dia dan suami tidak pernah menyalahkan takdir kerana anak adalah rezeki daripada Allah SWT.

“Bagaimanapun, nasib seseorang tidak boleh diduga kerana ia ketentuan dari Yang Maha Esa dan perlu diterima dengan hati terbuka serta tabah jika dikurniakan anak orang kurang upaya (OKU).

“Sekiranya mempunyai anak OKU, ia bukan alasan untuk ibu bapa berasa rendah diri atau malu kerana jika dibentuk dari awal dan diberi latihan berterusan, mereka juga mampu bersaing dengan kanak-kanak normal.

“Sejak dari awal, kedua-dua anak saya mendapat pendidikan formal di Pusat Asuhan Harian Kanak-kanak Sepastik (PUSAKAS) di Pusat Sindrom Down Kelab Lions Kota Bharu dan diikuti Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

“Namun, sejak Februari lalu Yusuf dan Yunus mengikut Program Transformasi OKU di Rumah Seri Kenangan, Taman Kemumin yang secara tidak langsung dapat membantu mereka berdikari,” katanya.

Dia yang mengambil tempahan menjahit berkata, mempunyai dua anak istimewa sememangnya sangat mencabar yang menuntut kesabaran, kekuatan dan ketabahan yang berganda kerana mereka mempunyai ‘mood’ masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 11:50 AM