PATUNG Barbie sindrom Down. FOTO Mattel/ Reuters
PATUNG Barbie sindrom Down. FOTO Mattel/ Reuters
Reuters

London: Pembuat mainan Mattel memperkenalkan Barbie pertama dengan Sindrom Down dalam usaha untuk menjadikan rangkaian anak patung terkenalnya lebih inklusif.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Global Barbie & Dolls Mattel, Lisa McKnight berkata, pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Sindrom Down Kebangsaan di Amerika Syarikat untuk membuat anak patung itu.

Menurutnya, anak patung terbabit mempunyai rangka yang lebih pendek dan badan yang lebih panjang daripada Barbie lain.

"Wajah anak patung baharu itu juga berbentuk bulat dan mempunyai mata berbentuk badam selain telinga lebih kecil serta batang hidung yang rata.

"Tapak tangan anak patung itu juga mempunyai satu garisan, ciri yang sering dikaitkan dengan mereka yang mengalami Sindrom Down," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pakaian anak patung itu dicipta dengan bentuk lengan kembung yang dihiasi rama-rama dan bunga dalam warna kuning serta biru, warna yang dikaitkan dengan kesedaran Sindrom Down.

Selain itu katanya, anak patung turut memakai rantai merah jambu dengan tiga chevron mewakili tiga salinan kromosom ke-21.

Kata beliau, anak patung itu juga dicipta dengan meletakkan alat orthotics berwarna merah jambu di bahagian buku lali.

"Matlamat kami adalah untuk membolehkan semua kanak-kanak melihat diri mereka dalam Barbie.

"Di samping itu, (kami mahu) menggalakkan kanak-kanak bermain dengan anak patung yang tidak kelihatan seperti diri mereka sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 12:55 PM