Syaherah Mustafa


BIARPUN dilahirkan mengalami sindrom down, namun ia tidak menghalang seorang lelaki menjana pendapatan dengan mengusahakan kiosk makanan pencuci mulut sendiri.

Mohamad Azlan Mat Dom, 24, dibantu ibunya, Hasniza Idris, 50, berniaga makanan seperti wafel, jagung manis, aiskrim dan minuman berdekatan sebuah pasaraya di Kampung Kedai Mulong, Kelantan sejak empat bulan lalu.

Hasniza berkata, kiosk terbabit dibuka atas permintaan anak istimewanya sendiri kerana dia memang berminat untuk berniaga selain sebagai langkah mendisiplinkan serta mengajar dia untuk bersosial.

MOHAMAD Azlan Mat Dom di kiosknya. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
MOHAMAD Azlan Mat Dom di kiosknya. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

“Memandangkan keadaannya yang tidak sempurna seperti anak yang lain, saya perlu sentiasa memantau dan membantu ketika di kedai terutama jika menggunakan alatan elektronik atau dapur membuat wafel.

“Biasanya saya yang menyediakan makanan, manakala tugas Azlan untuk persediaan air atau mengambil wang. Dia juga dilatih untuk berurusan sendiri dengan pelanggan yang mahu membayar tetapi dengan pantauan saya,” katanya ketika ditemui di kedai miliknya di Kedai Mulong, di sini, hari ini..

Dia berkata, Azlan yang juga anak ketiga daripada enam adik beradik itu adalah pelajar istimewa di bawah kelolaan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini.

“Walaupun dia anak sindrom down, saya bersyukur kerana dia mampu berkomunikasi dan berdikari. Malah, dia juga boleh membaca dan menulis walaupun tidak sempurna seperti anak-anak yang lain.

“Dia memiliki hati yang baik, malah jika ada pelanggan yang senasib sepertinya pasti dia memberi makanan dan minuman secara percuma,” katanya.

Mohamad Azlan yang tidak lekang dengan senyuman dilihat begitu ramah melayan pelanggan malah sempat bergurau terutama jika yang datang ke kiosknya adalah kanak-kanak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 12:05 PM