FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


MAYAT bayi dengan sebahagian anggota badannya dipercayai dimakan binatang ditemui di dalam longkang di tepi kandang lembu berdekatan Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, orang awam yang menemui objek seperti bayi di dalam longkang bertindak menghubungi polis bagi mendapatkan pengesahan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, objek itu disahkan mayat bayi dan polis membawanya ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Katanya, bedah siasat tidak dapat mengenal pasti jantina bayi berkenaan disebabkan sebahagian anggota badan dan organnya dipercayai sudah dimakan binatang.

“Mayat bayi ini disyaki dimakan binatang kerana terdapat kesan koyakan serta carik pada pahanya dan bedah siasat berakhir jam 10.30 pagi ini tidak dapat memastikan punca serta masa kematiannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, beberapa bahagian tulang bayi berkenaan sudah diambil sebagai sampel untuk analisis terperinci dijalankan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 4:43 PM