Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Mayat wanita berusia 58 tahun tanpa pergelangan tangan kiri ditemui di kebun kelapa sawit di Mantin di sini, 6.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mayat wanita itu, Norini Sofian ditemui dalam keadaan bengkak dan tidak memiliki pergelangan tangan kiri, dipercayai dimakan binatang.

Katanya, wanita berkenaan adalah individu dalam senarai orang hilang dan difahamkan memiliki penyakit saraf.

"Ketika ditemui, mayat berpakaian baju-T berwarna putih dan berseluar panjang berwarna coklat. Penemuan itu sama seperti laporan kehilangannya pada Rabu lalu.

"Selain itu, keadaan mayat juga berulat di bahagian muka dan masih terdapat seutas gelang di tangan kanan serta tiga cincin emas ditemui di atas tanah," katanya.

Menurutnya, anggota forensik yang tiba tidak dapat membuat pemeriksaan lanjut kerana mayat sudah reput.

"Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 11:10 PM