Michael (duduk tengah) bersama Ng (berdiri, kiri) dan Lim (berdiri, kanan) dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam di Wisma MCA Kuala Lumpur. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Michael (duduk tengah) bersama Ng (berdiri, kiri) dan Lim (berdiri, kanan) dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam di Wisma MCA Kuala Lumpur. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Mohd Azam Shah Yaacob


KONSULTAN wanita kerugian RM2,800 manakala ejen jualan pula kerugian RM2,350 selepas ditipu oleh 'scammer' yang masing-masing dikenali di Facebook (FB).

Mangsa pertama, Lim Ru Yuan, 25, berkata, RM2,800 itu dibayar kepada seorang lelaki bagi mendapatkan empat tiket VIP Kelas Emas ke konsert Jacky Cheung Classic Tour yang bakal berlangsung di Bukit Jalil pada 26 Januari depan.

Katanya, dia membuat bayaran awal sebanyak RM2,000 secara pindahan dalam talian kepada seorang lelaki dikenali sebagai Adam yang terlebih dulu menghubungi adik perempuannya di FB.

Dia berkata, bayaran dibuat pada 15 Disember lalu bagi mendapatkan empat tiket kelas biasa namun selepas membuat bayaran, lelaki itu memaklumkan bahawa tiket yang diminta hanya tinggal tiga saja.

"Dia kemudian menawarkan empat tiket VIP Kelas Emas yang asalnya berharga RM988 setiap satu pada harga hanya RM700.

"Disebabkan tiada pilihan, saya bersetuju dan membuat bayaran tambahan sebanyak RM800 ke akaun lelaki itu keesokan harinya," katanya dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong dan peguam Biro Pengaduan Awam MCA Alex Kok.

Lim berkata, selepas bayaran dibuat, lelaki itu gagal dihubungi biarpun sudah menunjukkan bukti bayaran menerusi Whatsapp dan FB.

"Selepas beberapa hari, lelaki itu tidak membalas mesej dihantar, saya sedar ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers serta aduan di Biro Pengaduan Awam MCA.

Dalam kes kedua pula, mangsa dikenali sebagai Ng, 42, ditipu seorang lelaki menawarkan jualan set baru telefon model Apple iPhone 6S Plus pada harga RM1,700.

Menurut Ng, selepas membayar jumlah itu pada 25 Disember lalu, lelaki itu meminta tambahan RM650 berikutan dimaklumkan sebagai wang insurans diminta syarikat kurier.

"Sekali lagi saya bayar RM650 kepadanya pada keesokan hari tanpa mengesyaki ditipu.

"Tapi, selepas beberapa hari masih tidak menerima telefon itu, saya menghubunginya dan dimaklumkan pula bahawa perlu bayar RM1,000 sebagai bayaran GST yang akan dipulangkan semula selepas seminggu," katanya.

Ng berkata, dia sedar ditipu berikutan lelaki berkenaan kemudian menyekat panggilan serta mesej yang dihantar sebelum dia membuat laporan polis dan aduan di Biro Pengaduan Awam MCA.

Sementara itu, Chong berkata, pihaknya akan merujuk dua kes itu kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, ini bagi membolehkan aktiviti penipuan di laman sosial seperti di FB yang semakin berleluasa dapat disekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 3:32 PM