SENG (tengah duduk) bersama Michael (kanan duduk) menunjukkan laporan polis berhubung penipuan jual beli motosikal dalam talian di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA. FOTO NSTP
SENG (tengah duduk) bersama Michael (kanan duduk) menunjukkan laporan polis berhubung penipuan jual beli motosikal dalam talian di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


“LEBUR semua wang simpanan yang dikumpul sejak dua bulan lalu, malah impian saya memiliki motosikal idaman turut musnah,” kata pelayan restoran yang menjadi mangsa sindiket penipuan jual beli motosikal secara dalam talian.

Menurut V Arvin, 18, dia melihat iklan yang menjual motosikal Yamaha 135LC terpakai di laman sesawang jual beli dalam talian yang menggunakan nama sebuah kedai motosikal di Bandar Baru Sri Damansara, Petaling Jaya, 18 April lalu.

Katanya, iklan berkenaan menawarkan harga RM3,000 untuk motosikal idamannya itu berbanding harga pasaran dianggarkan RM4,000 hingga RM5,000.

“Harganya yang murah bagi motosikal berkenaan menyebabkan saya tidak berfikir panjang lalu menghantar mesej melalui WhatsApp ke nombor tertera pada iklan terbabit untuk urusan pembelian.

“Melalui mesej itu, saya diarahkan supaya membuat bayaran penuh ke akaun milik seorang lelaki.

“Sindiket itu turut menghantar gambar kad pengenalan pemilik akaun berkenaan untuk meyakinkan saya bahawa urusan jual beli berkenaan bukan penipuan,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di Kuala Lumpur, semalam.

Menceritakan lanjut, Arvin berkata, dia kemudian diberikan alamat sebuah kedai motosikal di Bandar Baru Sri Damansara untuk menuntut sendiri motosikal berkenaan pada 19 April lalu sebelum menyedari dirinya ditipu sindiket berkenaan.

“Sebaik tiba di kedai itu, saya dimaklumkan bahawa iklan itu adalah palsu. Saya cuba menghubungi semula penjual berkenaan, namun dia gagal dihubungi kerana dipercayai sindiket terbabit sudah menyekat nombor telefon saya.

“Saya mengumpul wang sebanyak RM3,000 yang diperoleh daripada gaji selama dua bulan berturut-turut untuk membeli motosikal.

“Namun, semuanya lebur begitu saja selepas ditipu sindiket terbabit,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berhubung kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Azmi Mohamad Khalid, 42, berkata, dia mengalami kerugian RM500 selepas memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun milik seorang lelaki bagi membeli motosikal Yamaha 15ZR yang kononnya dijual pada harga RM4,800.

“Saya melihat iklan itu di laman sesawang berkenaan malam tadi (kelmarin).

“Selepas perbincangan dilakukan dengan seorang lelaki yang dihubungi melalui mesej di WhatsApp, saya bersetuju membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM500 sebagai tempahan bagi motosikal itu.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila tiba di alamat kedai yang diarahkan lelaki terbabit untuk menuntut motosikal itu, pemilik premis memaklumkan pihaknya tidak terbabit dengan urus niaga itu dan menasihatkan saya membuat laporan polis,” katanya.

Arvin, Azmi dan seorang lagi mangsa tampil di Biro Pengaduan Awam MCA bersama pemilik kedai motosikal, Seng Peah Chin, 51, bagi mendapatkan bantuan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 11:21 PM