BANIE (depan, dua kanan) bersama enam daripada sembilan mangsa penipuan skim pelaburan emas.
BANIE (depan, dua kanan) bersama enam daripada sembilan mangsa penipuan skim pelaburan emas.
Mohd Azam Shah Yaacob


SEMBILAN individu rugi RM1.5 juta selepas ditipu lelaki bergelar Datuk Seri yang 'lesap' bersama 5.4 kilogram emas dilabur.

Kesemua mangsa hanya sedar ditipu selepas lelaki itu gagal dihubungi manakala syarikat miliknya yang terletak di Bangsar tidak lagi beroperasi.

Mereka membuat laporan polis serta aduan di Biro Pengaduan Awam MCA bagi mendapatkan pembelaan.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Madam Ng, 67, berkata, dia rugi RM455,920 selepas menyerahkan emas seberat 1.64 kilogram (kg) kepada lelaki itu menerusi satu skim pelaburan emas disertainya tahun lalu.

Katanya, dia tertarik untuk menyertai skim pelaburan berkenaan kerana ditawarkan faedah RM109,686 bagi emas seberat 1.64 kg dalam simpanannya yang dijanjikan akan dipulangkan semula selepas tempoh satu tahun.

"Oleh kerana tertarik, pada Mac tahun lalu, saya serahkan emas seberat 1.64 kg kepada lelaki berkenaan.

"Lapan bulan pertama, semuanya berjalan lancar apabila saya menerima faedah sebanyak RM72,944 yang dibayar menerusi cek.

"Namun, selepas tempoh itu, segalanya berubah apabila saya mula menerima empat keping cek bernilai RM36,742 yang tidak dapat ditunaikan," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini yang turut dihadiri Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Kuala Lumpur, Banie Chin.

Merasakan sesuatu yang tidak kena, Ng berkata, dia cuba menghubungi lelaki berkenaan namun gagal sebelum mengambil keputusan pergi ke alamat syarikat lelaki itu di Bangsar.

"Saya hanya sedar ditipu selepas mendapati syarikat milik lelaki itu di Bangsar sudah tidak beroperasi sebelum membuat laporan polis serta aduan di Biro Pengaduan Awam MCA," katanya.

Sementara itu, Banie Chin berkata, pihaknya menerima sembilan aduan daripada sembilan individu yang menjadi mangsa penipuan Datuk Seri berkenaan.

Katanya, menerusi maklumat yang diterima, kesemua mangsa ditawarkan menyertai skim pelaburan emas berkenaan sejak Januari tahun lalu.

Katanya, dalam perjanjian, mangsa ditawarkan pulangan kadar faedah serendah RM1,000 bagi setiap 100 gram emas yang dilaburkan bagi tempoh 12 bulan.

"Selain menawarkan faedah, lelaki itu juga menawarkan pulangan semula emas yang sudah dilabur selepas satu tahun menyebabkan mangsa tertarik.

"Namun, tawaran serta bayaran faedah awal yang dibuat kepada mangsa itu hanya sebahagian taktik lelaki itu bagi menyakinkan mangsa," katanya.

Banie berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan polis bagi mengesan lelaki itu sekali gus membolehkan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 3:48 PM