SUAMI isteri menunjukkan gambar anaknya yang melarikan diri selepas meminjam dari lintah darat.
SUAMI isteri menunjukkan gambar anaknya yang melarikan diri selepas meminjam dari lintah darat.
Mohd Azam Shah Yaacob


ANAK tak guna. Itu perkataan tepat menggambarkan sikap seorang lelaki yang menyebabkan hidup kedua orang tuanya sengsara diganggu lintah darat setiap hari.

Lebih teruk lagi, sejak dua tahun lalu, ibu bapanya terpaksa menggunakan duit pencen serta duit simpanan berjumlah RM300,000 bagi menyelesaikan hutang dibuat anaknya.

Itu nasib dialami sepasang suami isteri berusia 73 tahun dan 61 tahun apabila anak sulung mereka yang berusia 44 tahun menghilangkan diri selepas meminjam wang dengan 13 lintah darat.

Tidak tahan diganggu, mangsa dikenali sebagai Ang bersama suaminya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 25 Oktober lalu selain memohon bantuan serta nasihat kepada Biro Pengaduan Awam MCA.

Ang berkata, pada Oktober lalu, dia serta suami terkejut apabila bahagian garaj rumahnya dipenuhi risalah daripada 13 Ah Long yang menuntut hutang berjumlah RM40,000 dibuat anaknya.

Malah, selepas itu, Ah Long berkenaan secara senyap menampal risalah tertera gambar anak lelakinya di kawasan rumah mereka.

"Walaupun tinggal serumah, tetapi kami tidak tahu menahu aktivitinya termasuk pinjaman yang dibuat dengan Ah Long.

"Malah pada pertengahan Oktober lalu, dia tiba-tiba keluar dari rumah kami senyap-senyap dan menghilangkan diri.

"Kami hanya tahu rupanya dia lari daripada Ah Long selepas kawasan garaj rumah dipenuhi risalah daripada lintah darat," katanya ketika ditemui dalam sidang media bersama Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong di Biro Pengaduan Awam MCA, Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Ang, dia sudah tidak tahan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab anaknya itu dan tidak mempunyai wang untuk membayar hutang yang ditinggalkan.

"Sejak dua tahun lalu, saya dan suami sudah lima kali membantunya menyelesaikan hutang dengan Ah Long dan berhabis sebanyak RM300,000.

"Kami tiada lagi cukup wang untuk membayar hutang berjumlah RM40,000 yang dibuatnya baru-baru ini dan jika ada sekalipun hanya cukup untuk makan setiap hari sahaja," katanya.

Sementara itu, Michael berkata, kes seumpama itu sudah banyak kali berlaku dan pihaknya kini tidak akan berkompromi dengan individu yang menyusahkan keluarga dengan meminjam pada lintah darat.

Katanya, selepas ini, mereka akan mengambil tindakan dengan memaparkan gambar individu yang meminjam kepada umum dan tidak lagi membela nasibnya.

"Membuatkan kami marah kerana mereka ini tidak pernah insaf atau serik.

"Sebelum ini sudah dibantu termasuk oleh keluarga sendiri, tetapi kemudian mereka buat semula masalah dengan berhutang kembali dengan Ah Long," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:28 PM