KEADAAN Perodua Myvi yang terbabit kemalangan menyebabkan pemandunya, Tien Jia Wei, 19, maut. FOTO ihsan polis.
KEADAAN Perodua Myvi yang terbabit kemalangan menyebabkan pemandunya, Tien Jia Wei, 19, maut. FOTO ihsan polis.
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU Perodua Myvi, Tien Jia Wei, 19, maut manakala seorang lagi cedera pada kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 26, Jalan Johor Bahru-Air Hitam berhampiran susur masuk ke Senai Utama, 10.40 malam tadi.

Kemalangan membabitkan Mitsubishi Lancer, Proton Persona, Proton Satria dan Perodua Myvi.

Tien maut akibat parah di badan dan kepala manakala pemandu Mitsubishi Lancer, Liu Di Dian, 20, cedera kaki kiri.

Dua lagi mangsa, pemandu Proton Persona, Hasik, 47, serta pemandu Proton Satria, Tan Yong Ren, selamat.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi yang memandu berseorangan dari arah Kulai ke Johor Bahru gagal mengawal keretanya lalu termasuk ke laluan bertentangan.

“Ia menyebabkan Perodua Myvi itu melanggar bahagian kanan belakang Proton Persona yang datang dari arah Johor Bahru dan menyebabkan kereta itu pula terbabas dan termasuk ke laluan bertentangan.

“Perodua Myvi terbabit pula kemudiannya bertembung dengan Mitsubishi Lancer yang datang dari arah Johor Bahru ke Kulai mengakibatkan kedua-dua kereta itu berpusing.

“Pada masa sama, Proton Satria yang datang dari Johor Bahru ke Kulai gagal mengelak lalu melanggar Perodua Myvi terbabit,” katanya hari ini.

Menurut beliau, kemalangan menyebabkan kesesakan jalan raya kira-kira lima kilometer di kedua-dua arah namun dapat dikawal anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan MPV polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 10:42 AM