KHAIRY Jamaluddin berkata sesuatu kepada Norazilinah Abd Aziz (ibu) sambil mencuit adik Amsyar ketika melancarkan tabung dan sidang akhbar. Turut hadir Ketua Pemuda Kuala Pilah, Khairolnezam Shaari (duduk, kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin
KHAIRY Jamaluddin berkata sesuatu kepada Norazilinah Abd Aziz (ibu) sambil mencuit adik Amsyar ketika melancarkan tabung dan sidang akhbar. Turut hadir Ketua Pemuda Kuala Pilah, Khairolnezam Shaari (duduk, kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohd Nasif Badruddin; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan


“Saya rela mendermakan hati untuk anak kerana jika terjadi perkara tidak diingini, bekas isteri boleh menjaga empat anak yang lain,” kata Muhammad Ilyas Isa, 32, bapa kepada Muhammad Amsyar, 13 bulan.

Muhammad Amsyar yang menghidap penyakit Biliary Atresia dan kegagalan hati berfungsi memerlukan kos rawatan RM350,000 dan pembedahan itu akan dilaksanakan di Hospital Renji, Beijing, China.

Katanya, pemeriksaan hati miliknya sudah dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan didapati bersesuaian dengan anak keempatnya itu.

Ibu kepada Muhammad Amsyar, Norazlinah Abdul Aziz, 35, berkata, dia mengharapkan dana untuk anak bongsunya dapat dikumpul dalam masa singkat bagi membolehkan dia menjalani pembedahan di China, awal Januari depan.

"Muhammad Amsyar disahkan menghidap kegagalan hati sejak berusia dua minggu dan keadaan kesihatannya kini membimbangkan kerana tahap pembekuan darahnya merosot.

"Anak mengalami masalah saluran hempedu tersumbat Biliary Atresia ketika berusia 20 hari," katanya.

Katanya, meskipun Muhammad Amsyar pernah menjalani pembedahan pada usia 40 hari, tetapi ia tidak berjaya merawat masalah berkenaan.

"Kami merujuk Muhammad Amsyar ke hospital di ibu negara, tetapi tidak dapat menjalani pembedahan segera kerana perlu mematuhi senarai menunggu.

"Doktor yang merawat menyarankan kami menjalani pembedahan di Hospital Renji yang dijadualkan pada 15 hingga 20 Januari depan," katanya.

Sesiapa yang ingin membantu adik Muhammad Amsyar, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Norazlinah Abdul Aziz di 505028613765.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rawatan ini dijadualkandilaksanakan di Hospital Renji, China.

"Kos yang diperlukan adalah RM350,000 dan dana terkumpul kini RM128,000 termasuk RM20,000 sumbangan peribadi saya.

"Ini adalah kes kecemasan dan memerlukan bantuan dana secepat mungkin. Kita di peringkat UMNO Bahagian Kuala Pilah sudah melaksanakan inisiatif dengan melancarkan tabung derma dan menyalurkan bantuan kewangan," katanya dalam sidang media di Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Khairy berkata, pembedahan ini penting bagi membolehkan Muhammad Amsyar membesar sama seperti kanak-kanak kecil yang lain.

"Saya juga memohon rakan-rakan media menghebahkan perkara ini sekaligus membantu keluarga ini," katanya.

Berita berkaitan:

Perhimpunan Agung UMNO 2017

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 3:14 PM