NOREEN bersama Nur Khayla.
NOREEN bersama Nur Khayla.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Kasih ibu tiada tandingannya. Itu gambaran pengorbanan Noreen Ismail, 35, yang sanggup bergadai nyawa mendermakan sebahagian hati untuk bayi perempuannya yang menghidap Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati sejak lahir.

Terpaksa 'menebalkan muka' merayu bantuan orang ramai bagi mengumpul dana untuk kos pembedahan di China berjumlah RM250,000 bukan halangan buat wanita ini demi memastikan anak bongsunya, Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham berusia 20 bulan kembali pulih seperti kanak-kanak lain.

Usahanya tidak sia-sia apabila berjaya mengumpul dana berkenaan sebelum berangkat ke China pada 19 April lalu bersama suami dan anaknya itu untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China yang terletak lebih 5,000 kilometer dari Malaysia.

Menurut Noreen biarpun berasa sangsi pada mulanya untuk membawa anak bongsunya menjalani pembedahan di Hospital Renji, Shanghai China, beliau nekad selepas mendapat khidmat nasihat doktor pakar di Malaysia.

"Alhamdulillah setakat ni anak terima hati saya dengan baik. Itu yang setiap penderma mahukan, supaya penerima tak 'reject' (tolak) hati penderma.

"Syukur Allah makbulkan doa saya...sedih bercampur gembira hati ini melihat anak yang tersiksa dalaman, luaran pula merana kegatalan akhirnya semua itu hilang selepas menerima hati saya. Terima kasih ya Allah dan kepada semua penderma kepada Khayla," katanya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Noreen berkata, dia dan anaknya kini ditempatkan dan menjalani rawatan di wad biasa dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat bertugas.

"Khayla sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejurus selepas pembedahan sebelum dipindahkan ke wad biasa semalam.

"Saya Alhamdulillah sihat dan sudah boleh berjalan, luka-luka pembedahan juga sudah beransur pulih," katanya.

Beliau menjalani pembedahan laparoskopik iaitu prosedur pembedahan invasif minimum yang membolehkan pakar bedah mengakses organ dalaman tanpa potongan luka besar dan jahitan yang mengambil masa penyembuhan lama seperti pesakit sebelum ini.

Noreen turut berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia yang menyalurkan bantuan kewangan hingga membolehkan mereka ke China.

Menurutnya, sejurus tiba di China pada Sabtu selepas penerbangan selama lima jam, beliau dan anaknya dibawa ke hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diambil sampel darah.

Katanya, pada Isnin pula dia menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik), CT Scan (imbasan tomografi berkomputer), ultrasound dan ekokardiografi bertujuan untuk menentukan berapa banyak hati yang perlu diberikan kepada anaknya.

"Kemudahan dan layanan di hospital ini sangat baik dan kami juga berbangga Khayla adalah individu pertama ditempatkan di bangunan baharu khas untuk untuk pesakit antarabangsa bagi pembedahan hati," katanya.

Sementara itu, suaminya, Mohamed Khairul Idhham Khairuddin,38, turut lega dan bersyukur pembedahan hati itu lancar dan anak dan isterinya kini stabil.

"Noreen menjalani pembedahan pada jam 7.30 pagi dan selesai jam 12 tengah hari manakala Khayla pula dibedah pada jam 8.30 pagi dan selesai jam 4 petang dan kini dimasukkan ke wad biasa.

"Doakan mereka berdua supaya proses 'recovery' (pemulihan) berjalan dengan baik," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, isteri dan anaknya dijangka pulih dan dapat keluar daripada hospital dalam masa dua atau tiga minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 7:01 AM