Shaiffulazhar Misri


IBU tunggal, Norazlinah Abdul Aziz, 35, merayu orang ramai membantu membiayai kos pemindahan hati bayinya, Muhammad Amsyar Muhammad Illyas, 10 bulan, berjumlah RM350,000 yang tertangguh walaupun bekas suaminya sedia menderma sebahagian hati untuk anak mereka.

Ibu kepada empat anak itu berkata, Muhammad Amsyar perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China, selepas disahkan mengalami masalah saluran pundi hempedu tersumbat dan kegagalan fungsi hati ketika usianya baru 21 hari.

Dia berkata, pada usia baru 40 hari, Muhammad Amsyar terpaksa menjalani pembedahan pintasan hati dan membuang hempedu untuk menyelamatkan nyawanya.

"Saya juga sedia dermakan hati, tapi doktor syorkan organ itu diambil daripada bapanya (bekas suami). RM350,000 itu adalah untuk tampung kos perubatan, pengangkutan, visa, dan penginapan selama dua bulan kami di China.

"Setakat ini kami berjaya kumpul RM17,000 hasil sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya tak kerja kerana perlu jaga Muhammad Amsyar dan bergantung pada pendapatan ayah yang mengusahakan warung menjual makanan," katanya yang ditemui di Pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka, Kota Cemerlang, Ayer Keroh, hari ini.

Norazlinah berkata, setiap bulan dia membelanjakan sebanyak RM600 bagi membeli keperluan Muhammad Amsyar, selain menampung tiga lagi anak, masing-masing berusia enam, empat dan dua tahun.

Orang ramai yang mahu membantu membiayai kos rawatan bayi itu boleh menghubungi Nor Azlinah di talian 010-4007839 atau terus menyumbang menerusi akaun Maybank 505028613765 atas nama Norazlinah Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 5:26 PM