AMSYAR menghidap penyakit hati kronik, angin pasang, jantung berlubang dan masalah hempedu. FOTO Ihsan Zamzuri Ahmad
AMSYAR menghidap penyakit hati kronik, angin pasang, jantung berlubang dan masalah hempedu. FOTO Ihsan Zamzuri Ahmad
Ahmad Rabiul Zulkifli

“SAYA tidak sanggup lihat penderitaan anak dan mahu dia segera menjalani pembedahan hati sama ada di China atau India, tetapi memerlukan kos tinggi.”

Begitu kata Zamzuri Ahmad, 38, bapa Muhammad Zhafran Amsyar, 12 bulan yang bukan saja menghidap penyakit hati kronik (Biliary Atresia), tetapi juga angin pasang, jantung berlubang dan masalah hempedu.

Zamzuri berkata, dia memerlukan bantuan kewangan RM250,000 bagi membolehkan mereka membawa anak sulungnya ke China atau India bagi menjalani pembedahan.

Menurutnya, dia membawa anaknya menjalani beberapa rawatan termasuk dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Bagaimanapun, cadangan PPUM membawa Amsyar ke hospital di China atau India kerana ada kepakaran khas merawat penyakit itu,” katanya.

Menurutnya, beberapa penyakit dialami mennyebabkan perutnya membuncit, tubuh termasuk mata menjadi kuning dan alat sulit membengkak kerana penyakit angin pasang.

“Sepanjang masa Amsyar merengek sakit dan paling ketara pada bahagian kemaluan yang bengkak.

“Saya pun berasa terseksa apatah lagi Amsyar yang menanggung kesakitan itu.

“Setiap dua bulan, saya dan isteri, Nor Alisa Udin, 23, membawa Amsyar ke PPUM untuk bertemu pakar” katanya berkerja kilang di Kampung Saujana, Setiu.

Orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 011-16816897.

“Pertemuan dengan pakar hati di PPUM bagi menetapkan tarikh pembedahan hati di luar negara.

“Jika RM250,000 itu dapat dikumpul dalam tempoh terdekat, pembedahan itu juga dapat disegerakan,” katanya.

Sementara itu, Nor Alisa berkata, masalahnya turut dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) dan Tabung Darul Iman.

Katanya, setakat ini, hanya Maidam yang menyumbangkan RM2,000 iaitu pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 7:45 AM