Saipul Adli Mohamad


KERESAHAN penduduk yang berdepan rumah bersalut lumpur selepas dilanda banjir hujung minggu lalu, reda apabila hampir 400 sukarelawan iM4U turun padang bergotong-royong membersihkan rumah mangsa dan sekolah selepas air surut.

Melalui inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, iM4U menggerakkan sukarelawan terbabit bagi membantu pembersihan rumah mangsa banjir di beberapa lokasi di sekitar Pulau Pinang sejak Isnin lalu dan sukarelawan berkenaan bekerjasama pertubuhan bukan kerajaan tempatan (NGO) menjalankan kerja pembersihan.

Ini bukan kali pertama sukarelawan iM4U turun padang dan antara NGO paling awal membantu mangsa ketika dan selepas bencana banjir berlaku.

Malah, kehadiran iM4U antara paling signifikan apabila menyediakan kira-kira 10,000 khemah berbentuk kamar untuk digunakan di pusat pemindahan banjir di seluruh negara pada 2014 dan ia masih digunakan sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif iM4U Rudy Malik berkata, seramai 389 sukarelawan terdiri daripada pelbagai peringkat umur turun padang ke beberapa lokasi bagi membantu kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

“€œAntara kawasan tumpuan sukarelawan ialah di Labh Banting dan Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi di Tasek Gelugor, Kampung Belah Dua dan Kampung Besar di Permatang Pauh dan Kampung Dodol di Georgetown.

"iM4U turut menghantar sukarelawan menjalankan gotong-royong di Sungai Rusa, Sungai Burung, Pulau Bentong di Balik Pualu, selain Kampung Nyior Sebatang, Sungai Kereh,Air Itam Dalam dan Kampung Lahar Yooi,” katanya.

Rudy berkata, tumpuan pembersihan ialah kediaman mangsa dan pusat komuniti seperti sekolah, pusat ibadah dan dewan kegunaan orang ramai.

Beliau berkata, sukarelawan pasca banjir itu membabitkan penuntut serta pengajar dan kakitangan Politeknik Seberang Perai (PSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kolej Damansara Utama (KDU) dan Universiti Malaya (UM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 4:30 PM
 Sukarelawan iM4U membantu membersihkan rumah mangsa banjir di sekitar Tasek Gelugor.
Sukarelawan iM4U membantu membersihkan rumah mangsa banjir di sekitar Tasek Gelugor.