Nur Izzati Mohamad


SERAMAI 154 individu membabitkan 27 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka di Tasek Gelugor dinaiki air, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua mangsa dipindahkan berikutan rumah mereka yang terletak di tepi sungai tidak selamat diduduki ketika ini.

Katanya, ia berikutan berlaku limpahan air dari hulu Sungai Kulim, Kedah ke Sungai Jarak di Tasek Gelugor menyebabkan beberapa rumah berdekatan Sungai Jaram dinaiki air.

“Sehubungan itu, semua penduduk yang tinggal berhampiran sungai berkenaan mengambil langkah berpindah buat sementara waktu bagi menyelamatkan diri mereka.

“Semua mangsa kini menginap di dua pusat pemindahan banjir yang dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Desa Puri dan Dewan Orang Ramai Paya Tok Akil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, keadaan terkini masih terkawal dan cuaca juga berada dalam suasana baik.

“Selain polis, beberapa agensi antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi penempatan banjir untuk membantu mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 5:30 PM
BEBERAPA kawasan dinaiki air akibat hujan lebat di Tasek Gelugor, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
BEBERAPA kawasan dinaiki air akibat hujan lebat di Tasek Gelugor, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca