SUNGAI Kereh dekat Kampung Tok Bedu yang didakwa dicemari najis babi. FOTO Arkib NSTP.
SUNGAI Kereh dekat Kampung Tok Bedu yang didakwa dicemari najis babi. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Tasek Gelugor: Isu pencemaran najis babi dalam Sungai Kereh yang turut menjejaskan petani di daerah ini sudah selesai dengan pembinaan sebatang anak sungai bersumberkan air Sungai Jarak dan beberapa sungai lain, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya.

Beliau berkata, langkah itu yang membabitkan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran negeri serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang, menyaksikan petani di Pokok Tampang, Permatang Berangan dan Lahar Yooi di sini, tidak lagi bergantung pada Sungai Kereh untuk mengairi sawah mereka.

"Melalui kerjasama ini, kita telah mewujudkan anak sungai baharu yang menelan kos RM2.3 juta menerusi peruntukan kerajaan.

"Air anak sungai itu disalur masuk ke petak sawah padi di Pokok Tampang, Permatang Berangan dan juga Lahar Looi, serta Lebuh Banting dan kawasan berhampiran. Petani menyatakan rasa puas hati dengan apa yang kita dah buat," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Shabudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang berkata, sukar bagi isu pencemaran najis babi dalam Sungai Kereh diselesaikan secara total disebabkan punca berada di kawasan Kepala Batas.

"Masyarakat perlu faham, isu najis babi ini membabitkan dua kawasan iaitu ada satu kawasan penternakan babi di Kepala Batas. Jadi, pemimpin di kawasan Kepala Batas perlu ambil perhatian.

"Saya cuma boleh selesaikan setakat ini sahaja. Kalau hendak pastikan air, termasuk Sungai Kereh itu jernih semula (memang saya) tidak boleh buat sebab punca pencemaran tak diselesaikan. Apa yang boleh kita buat ialah pastikan air tercemar tidak masuk ke kawasan pertanian dengan mencari sumber air lain," jelasnya.

Beliau juga berkata, isu itu turut memerlukan pembabitan kerajaan negeri yang boleh meminda syarat tapak pertanian, khususnya berhubung penternakan babi.

Terdahulu, Shabudin merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2021 dan Program Penyerahan Bantuan Covid-19 kepada kakitangan Penjara Seberang Perai dan Penjara Reman Pulau Pinang di pejabat Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan baucar bernilai RM150 kepada 100 murid sekolah di kawasan parlimen tersebut serta barangan keperluan asas kepada kakitangan Penjara Seberang Perai dan Penjara Reman Pulau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 4:15 PM