KEADAAN lori yang melanggar Haryati Sazali, 34, di premis memproses kelapa di Jalan Pantai,Kuala Kurau. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN lori yang melanggar Haryati Sazali, 34, di premis memproses kelapa di Jalan Pantai,Kuala Kurau. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


WANITA pekerja kilang proses kelapa di Kuala Kurau, Parit Buntar maut digilis lori yang hilang kawalan sebelum merempuh premis tempat mangsa bekerja hari ini.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa Haryati Sazali, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori melarikan diri sejurus kemalangan berlaku.

Pemandu lelaki yang belum dikenal pasti itu dipercayai hilang kawalan hingga mengakibatkan lori dipandu melanggar mangsa yang berada di depan kilang sebelum merempuh masuk ke dalam kilang dan terkandas pada tiang premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut itu.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti identiti pemandu lori yang menghilangkan diri dan gagal dikesan itu.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas paramedik.

"Siasatan lanjut masih dijalankan terutama mengesan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:43 PM