Keadaan van kilang yang terbabit kemalangan merempuh treler yang sedang mengundur. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan van kilang yang terbabit kemalangan merempuh treler yang sedang mengundur. FOTO IHSAN PEMBACA
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Seorang pemandu lelaki maut manakala penumpang wanita cedera parah selepas van pekerja dinaiki mereka merempuh treler yang sedang mengundur untuk masuk ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Juna Yusoff berkata pada jam 6.20 pagi pihaknya menerima laporan kemalangan di Jalan Sungai Labu Atas, Tanjung Piandang.

Menurutnya siasatan mendapati berlaku kemalangan membabitkan van treler jenis Volvo dan van kilang jenis Placer-X-A4.

"Siasatan awal mendapati treler yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun itu dari arah Parit Buntar menuju ke Tanjung Piandang manakala van kilang berkenaan dari arah bertentangan.

"Difahamkan kejadian berlaku ketika treler berkenaan dalam keadaan mengundur untuk ke memasuki bahu jalan sebelah kanan dan ketika itu datang van terbabit dan merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler.

"Akibat kejadian itu pemandu lelaki berusia 36 tahun maut di lokasi kejadian manakala penumpang wanita yang berada di hadapan berusia 28 tahun mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki kanan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 8:10 PM