ANAK Haryati, Mohd Taufiq Shaipol dan Mohd Shaufiq Shaipol kini dipelihara Sazali dan keluarga.
ANAK Haryati, Mohd Taufiq Shaipol dan Mohd Shaufiq Shaipol kini dipelihara Sazali dan keluarga.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: “Saya ada melalui kawasan depan kilang memproses kelapa itu, namun tidak sedar kemalangan maut yang berlaku membabitkan anak perempuan sendiri,” kata Sazali Abdullah, 59.

Sazali adalah bapa kepada Haryati, 34, yang maut dirempuh dan digilis lori di sebuah kilang memproses kelapa di Kuala Kurau, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh lori dipandu seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki terbabit hilang kawalan lalu merempuh mangsa yang berada di hadapan kilang sebelum lori berkenaan tersangkut pada tiang.

Menurut Sazali, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tok Ngah dari pekan Kuala Kurau, namun tidak berhenti untuk melihat kemalangan itu.

“Sejurus sampai di rumah, saya hairan apabila isteri dan ahli keluarga lain menangis sebelum memaklumkan Haryati sudah tiada.

“Luluh hati saya sebaik mengetahui anak perempuan sendiri yang maut dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, jenazah anak sulung daripada lima beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kurau, di sini, tengah malam kelmarin.

Menurutnya, keluarganya reda dengan pemergian arwah, namun terkilan dengan kejadian itu yang berlaku membabitkan lori merempuh kilang tempat anaknya bekerja.

“Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu termasuk mengesan pemandu lori dipercayai warga asing yang melarikan diri sejurus kemalangan berlaku kerana bimbang ada unsur jenayah.

“Jika wujud unsur jenayah, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, dua anak arwah, Mohd Taufiq Shaipol, 11, dan Mohd Shaufiq Shaipol, 6, kini di bawah jagaannya.

Sementara itu, wakil majikan tempat mangsa bekerja dikenali sebagai Ah Hee memaklumkan Haryati bekerja sambilan dengan syarikat miliknya sejak lapan bulan lalu.

Menurutnya, pihaknya simpati dengan kejadian itu dan menghulurkan sumbangan peribadi kepada ahli keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:22 AM